Facebook

Saturday, July 3, 2010

Isra' Mikraj - Masih Ingatkah Kita?

Mafhum Firman Allah S.W.T. : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
(Surah Al-Israa': 1)


Peristiwa Isra’ dan Mikraj berlaku selepas nabi diuji dengan kematian dua orang yang paling rapat dan banyak membantu baginda dalam usaha menyebarkan dakwah Islam iaitu isteri tercinta Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib. Tekanan yang dihadapi selepas kematian kedua insan yang disayangi semakin bertambah dan jika kita fikirkan dari segi logik akal maka dakwah Islam pasti akan terkubur.

Namun kuasa Allah melebihi segala-galanya iaitu selepas penolakan dakwah oleh penduduk Taif, nabi telah dihiburkan dengan Isra’ dan Mikraj dan seterusnya diizinkan untuk berhijrah ke Madinah sehingga membina Daulah Islamiah yang telah mengubah kedudukan Islam daripada dihina kepada dipandang mulia, daripada lemah kepada memerintah. Dalam peristiwa di Taif iaitu ketika penduduknya bukan sahaja menolak mentah-mentah dakwah Islam malah telah melontar batu ke arah nabi sehingga berlumuran darah.



Taif

Kita dapat melihat nabi telah diberi peluang untuk menang mudah iaitu tawaran daripada malaikat penjaga bukit untuk menjadikan bukit bawah jagaannya sebagai emas tetapi ditolak oleh nabi sebagaimana nabi menolak tawaran malaikat penjaga bukit yang ingin menghancurkan penduduk Taif yang begitu degil dengan menjatuhkan bukit ke atas penduduk Taif.

Penolakan nabi ini memberi banyak pengajaran kepada kita umat Islam iaitu kekayaan bukanlah faktor utama dalam menegakkan Islam kerana jika kita perhatikan pada hari ini kebanyakan negara umat Islam dianugerahkan dengan hasil dalam negara yang banyak tetapi ia tidak membantu dalam membentuk umat Islam yang bersatu serta menghentikan penderitaan umat Islam yang sedang ditindas. Islam bukan mampu bangkit dengan kekuatan ekonomi semata-mata tetapi Islam bangkit melalui kekuatan aqidah yang ditanam dalam diri.

Peristiwa Isra’ Mikraj berlaku di dua tempat utama di bumi sebelum nabi dinaikkan ke sidratul muntaha iaitu bumi Mekah dan Palestin malah melalui ayat 1 surah Isra’ menjelaskan bagaimana Allah memberkati bumi isra’ dan sekitarnya. Sehingga kini bumi Isra’ iaitu Baitul Maqdis, Palestin terus menjadi rebutan tiga agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi sehinggakan keganasan Yahudi dalam membunuh dan merampas tanah milik umat Islam terus berjalan tanpa perikemanusiaan.

Sejarah Isra' dan Mikraj

Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S.A.W. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Isra" itu.

Semasa Isra'
(Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil Aqsa)


Sepanjang perjalanan (isra') itu Rasulullah S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah;
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan);


Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

2. Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

3. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

4. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

5. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri atau suami.

6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.



Masjidil Aqsa Hari Ini

11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak mempedulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Semasa Mikraj
(Naik ke Hadhratul Qudus Menemui Allah)


Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

1. Langit Pertama: Rasulullah S.A.W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

2. Langit Kedua: Nabi S.A.W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

3. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.

4. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.

5. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

6. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

7. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W., Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu La Haulawala Quwatta Illa Billah.

Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: Subhanallah, Walhamdulillah, Wa la ila ha illallah allahuakbar dan Wa La Haulawala Quwata Illabillahil Azim. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

8. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

9. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak derhaka kepada ibu bapanya.

10. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S.W.T: Ya Muhammad.

Rasulullah : Labbaika.

Allah S.W.T: Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.

Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Daud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah S.W.T: Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. dibawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj

Rasulullah S.A.W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah).

Wallahu'alam.

(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id)

Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.


Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Rasulullah saw langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah swt. Allah swt telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Rasulullah saw.

Masih terlekakah kita??



Wednesday, June 23, 2010

Dosa Kecik Jadik Beso ??

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang…

Dulu kini dan selamanya kita memanjatkan syukur kehadrat Allah SWT yang telah memberikan nikmat kepada kita yang tidak terkira banyaknya…

Selawat dan Salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, keluarga, sahabat-sahabat baginda dan para tabi’ tabiin…sehingga hari kiamat..
Semoga kita semua di bawah naungan ALLAH SWT ketika di akhirat kelak.

Para pembaca, siswa siswi sekelian- sekarang sudah masuk bulan ALLAH- iaitu REJAB yang mana banyak fadhilatnya. Pihak BDMKIST ingin mengucapkan selamat beribadah pada bulan berkat ini. Amiin InsyaALLAH…


Dosa kecil, dan dosa besar ada bezanya. Dosa kecil akan menjadi dosa besar jika cukup syarat-syarat nya… Disini terdapat ciri2 dosa yang dikatakan akan menjadi dosa besar_- harap semua boleh ambik pedoman….

1- Dilakukan secara berterusan
Sebab itu dikatakan: "Bukan dosa kecil lagi kalau dikekalkan dan bukan dosa besar lagi kalau dimohonkan keampunannya".
Satu dosa besar yang tidak diulangi adalah lebih cerah peluang untuk diampunkan oleh Allah dari dari dosa kecil yang dilakukan secara berterusan dan berulang-ulang.
Bandingannya samalah seperti titisan-titisan air yang menimpa batu secara berterusan akan meninggalkan bekas kepada batu tersebut, sedangkan jika kadar air yang sama kita simbahkan sekaligus ke atas batu tersebut, ia tidak akan memberi apa-apa kesan.
2. Memandang remeh dosa yang dilakukan
Jikalau seseorang memandang besar dosa yang dilakukannya, maka di sisi Allah ia akan dipandang kecil. Begitu juga, kalau dia memandang remeh dosa yang dilakukannya, di sisi Allah ia akan dipandang besar. Kalau seseorang itu memandang remeh sesuatu dosa, itu menunjukkan bahawa hatinya sudah gelap dan cenderung untuk melakukan dosa. Seseorang mukmin itu akan memandang dosanya adalah seperti sebuah bukit yang berada di atas kepalanya yang akan jatuh menimpanya dan orang munafik memandang dosanya adalah seumpama lalat yang melewati hidungnya lalu dihalaunya.
3. Merasa gembira dengan dosa yang dilakukan
Setiap kali seseorang itu merasa senang hati dengan dosa yang dilakukannya, maka kesan dosa itu akan makin besar dan menghitamkan hatinya. Contohnya merasa bangga dapat menyakiti, memalukan atau membohongi saudaranya yang lain. 4. Memandang mudah apabila kesalahannya ditutup oleh Allah dari pengetahuan orang lain dan Allah tidak menimpakan apa-apa bencana kepadanya
Lalu ia menyangka bahawa kesalahan yang dilakukannya itu mendapat pertolongan dari Allah. Sedangkan Allah menangguhkan balasannya sebagai kemurkaanNya dan agar bertambah besarlah dosanya.
5. Melakukan dosa dan memperlihatkannya kepada orang lain
Ia sama ada memberitahu kepada orang lain atau semasa melakukannya ada orang melihatnya.
• Yang pertama semasa melakukan dosa itu, orang tidak tahu, tetapi dia menghebahkannya. Ia adalah kesalahan kerana Allah telah menutupnya ketika melakukan kesalahan, tetapi dia telah membuang tabir tersebut. • Yang keduanya dia melakukan dosa di hadapan orang lain. Kedua-duanya boleh menggerakkan keinginan buruk orang yang mendengar atau melihatnya terhadap maksiat. Apatah lagi kalau tujuan dia menghebahkannya atau mempertontonkannya agar perbuatannya itu diikuti oleh orang lain. Maka bertambah besarlah dosanya.
6. Kalau orang yang melakukannya adalah seorang alim yang ada pengikut
Ini adalah berdasarkan satu hadis yang bermaksud:
"Sesiapa yang melakukan suatu amalan yang buruk, maka ke atas dirinya sendiri tetaplah adanya dosa itu, juga dosa orang yang meniru perbuatannya, tanpa dikurangi dari dosa mereka itu sedikit pun". (HR Muslim). Sebagaimana berganda-gandanya dosa orang alim yang diikuti, begitu juga berganda-ganda pahalanya jika perbuatan baiknya diikuti. (Petikan dari Kitab Mau'izatul Mu'minin min Ihya' Ulumiddin m/s: 405-406) Setiap anak Adam melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan itu ialah mereka yang bertaubat. Maka dalam bulan Rejab ini, marilah kita membanyakkan taubat dan ibadah kita untuk mendapatkan keampunan daripada Allah SWT. InsyaALLAH…
Ya Allah! Ampunilah segala kesalahan hambaMu yang lemah lagi banyak dosa ini. AMIIN..

Monday, June 7, 2010

PUISI : Saudara Akhirat

Kita berdoa untuk mereka, kerana doa itu senjata orang mukmin.
Namun, benar mukminkah kita ini?

Kemudian kita melakukan maksiat sehari-hari.
Maka maksiat yang kita perbuat itulah yang melemahkan kita, lalu Islam menjadi mundur.


Akibat lemah dan mundur, tanah Palestin dijajah, dan saudara-saudara kita itu dibunuh, diperkosa dan dilayan lebih hina dari binatang.Puncanya, kelemahan Muslimin yang kita cipta.

Kita lupa bahawa saudara kita itu, mereka mempunyai hak ke atas kita.

Puisi: Saudara Akhirat


bebaskan hidup kita daripada pemikiran dan amalan jahiliyyah, selepas itu Palestin akan dapat kita bebaskan

saudara,

masih ada sebuah iktikad,
yang mengikat kita,
menjadi dekat.

lalu,

mengapa kita jarang melihat,
pada cairan merah pekat,
yang membasuh seluruh jasad.

ingat,

pertalian akidah ini akan menggugat,
mengapa berdoa sarat,
sedang hati penuh berkarat,
sekadar itukah persaksian hubungan akhirat?


hari ini kita biar mereka derita dengan maksiat,
yang dari tangan kita diperbuat,
tapi hari ini cuma sesaat,
kerana kita akan bangun untuk penat,

pada hari,
ketika amalan saudara disiasat.





Ummul Mukminin Zainab binti Jahsy (isteri Rasulullah saw.) bertanya kepada baginda nabi, “Ya Rasulullah! Apakah kami akan binasa sedangkan di kalangan kami masih ada orang-orang yang soleh?” Lalu Nabi saw. bersabda “Ya, jikalau kejahatan sudah terlalu banyak”.

--diambil daripada naimulfirdaus.blogspot.com--

Sunday, May 23, 2010

Ohh Adam!!!


Ohh Adam...

Adam..... Maafkan aku jika coretan ini memanaskan
hatimu. Sesungguhnya aku adalah Hawa, temanmu yang kau
pinta semasa kesunyian di syurga dahulu.
Aku asalnya dari tulang rusukmu yang bengkok. Jadi
tidak hairanlah jika perjalanan hidupku sentiasa
inginkan bimbingan darimu, sentiasa mau terpesong dari
landasan, kerana aku buruan syaitan.

Adam... Maha suci Allah yang mentakdirkan kaumku lebih
ramai bilangannya dari kaummu dia akhir zaman, itulah
sebenarnya ketelitian Allah dalam urusanNya Jika
bilangan kaummu mengatasai kaumku nescaya merahlah
dunia kerana darah manusia, kacau-bilaulah suasana,
Adam sama Adam bermusuhan kerana Hawa.
Buktinya cukup nyata dari peristiwa Habil dan Qabil
sehinggalah pada zaman cucu-cicitnya. Pun jika begitu
maka tidak selaraslah undang-undang Allah yang
mengharuskan Adam beristeri lebih dari satu tapi tidak
lebih dari empat pada satu waktu.

Adam... Bukan kerana ramainya isterimu yang
membimbangkan aku. Bukan kerana sedikitnya bilanganmu
yang merunsingkan aku. Tapi... aku risau, gundah dan
gulana menyaksikan tingkahmu. Aku sejak dulu lagi
sudah tahu bahawa aku mesti tunduk ketika menjadi
isterimu.
Namun... terasa berat pula untukku meyatakan isi
perkara.

Adam... Aku tahu bahawa dalam Al-Quran ada ayat yang
menyatakan kaum lelaki adalah menguasai terhadap kaum
wanita. Kau diberi amanah untuk mendidik aku, kau
diberi tanggungjawab untuk menjaga aku, memerhati dan
mengawasi aku agar sentiasa didalam redha Tuhanku dan
Tuhanmu.

Tapi Adam, nyata dan rata-rata apa yang sudah terjadi
pada kaumku kini, aku dan kaumku telah ramai
menderhakaimu. Ramai yang telah menyimpang dari jalan
yang ditetapkan Asalnya Allah mengkehendaki aku
tinggal tetap dirumah. Di jalan-jalan, di pasar-pasar,
di bandar-bandar bukan tempatku. Jika terpaksa aku
keluar dari rumah seluruh tubuhku mesti ditutup dari
hujung kaki sampai hujung rambut.
Tapi.. realitinya kini, Hawa telah lebih dari sepatutnya.

Adam... Mengapa kau biarkan aku begini? Aku jadi ibu,
aku jadi guru, itu sudah tentu katamu. Aku ibu dan
guru kepada anak-anakmu. Tapi sekarang diwaktu yang
sama, aku ke muka menguruskan hal negara, aku ke hutan
memikul senjata. Padahal, kau duduk saja. Ada diantara
kau yang menganggur tiada kerja. Kau perhatikan saja
aku panjat tangga di pejabat bomba, kainku tinggi
menyingsing peha mengamankan negara. Apakah kau
sekarang tidak lagi seperti dulu? Apakah sudah hilang
kasih sucimu terhadapku?

Adam... Marahkah kau jika kukatakan andainya Hawa
terpesong, maka Adam yang patut tanggung! Kenapa?
Mengapa begitu ADAM? Ya! Ramai orang berkata jika anak
jahat emak-bapak tak pandai didik, jika murid bodoh,
guru yang tidak pandai mengajar! Adam kau selalu
berkata, Hawa memang degil, tak mahu dengar kata, tak
mudah makan nasihat, kepala batu, pada hematku yang
dhaif ini Adam, seharusnya kau tanya dirimu, apakah
didikanmu terhadapku sama seperti didikan Nabi
Muhammad SAW terhadap isteri-isterinya? Adakah Adam
melayani Hawa sama seperti psikologi Muhammad terhadap
mereka? Adakah akhlak Adam-Adam boleh dijadikan contoh
terhadap kaum Hawa?

Adam... Kau sebenarnya imam dan aku adalah makmummu,
aku adalah pengikut-pengikutmu kerana kau adalah
ketua. Jika kau benar, maka benarlah aku. Jika kau
lalai, lalailah aku. Kau punya kelebihan akal manakala
aku kelebihan nafsu.

Akalmu sembilan, nafsumu satu. Aku...akalku satu
nafsuku beribu! Dari itu Adam....pimpinlah tanganku,
kerana aku sering lupa, lalai dan alpa, sering aku
tergelincir ditolak sorong oleh nafsu dan
kuncu-kuncunya.

Bimbinglah daku untuk menyelami kalimah Allah,
perdengarkanlah daku kalimah syahdu dari Tuhanmu agar
menerangi hidupku. Tiuplah ruh jihad ke dalam dadaku
agar aku menjadi mujahidah kekasih Allah.

Adam... Andainya kau masih lalai dan alpa dengan
karenahmu sendiri, masih segan mengikut langkah para
sahabat, masih gentar mencegah mungkar, maka kita
tunggu dan lihatlah, dunia ini akan hancur bila kaumku
yang akan memerintah. Malulah engkau Adam, malulah
engkau pada dirimu sendiri dan pada Tuhanmu yang
engkau agungkan itu...