Facebook

Friday, February 26, 2010

Menyemarakkan Maulidur Rasul

Alhamdulillah..puji dan syukur ke atas Allah SWT, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Rasulullah SAW. Pada hari ini kita menyambut satu tarikh yang amat bermakna dalam sejarah manusia dan kemanusiaan. Tanggal 12 Rabiul Awal mengisyaratkan kelahiran dan kemunculan seorang pembawa risalah yang akan menyelamatkan insan daripada ‘zulumat’ menuju ‘an-nur’, daripada kegelapan menuju destinasi keredhaan Allah SWT. Itulah tanggal bersejarah keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, Nabi akhir zaman yang diutus dengan akhlak yang mulia sebagai contoh teladan dan mencapai kemuliaan hidup di dunia dan akhirat yang lahir dengan risalah Islamiah yang menjadi rahmat serta kesejahteraan kepada seluruh alam. Firman Allah SWT, dalam Surah al-Anbiya : 107, “Dan tidaklah engkau Ku utus (wahai Muhammad) melainkan untuk membawa rahmat bagi seluruh alam.” Bagaimanakah kita menyambut dan meraikan kehadiran tarikh bersejarah keputeraan Junjungan SAW? Tidak wajar jika kita hadir dan berlalu begitu sahaja kerana meraikannya sesungguhnya diharap menjadi tanda kecintaan kepada Baginda. Oleh itu, ada beberapa perkara yang perlu bersama-sama kita renungkan dan laksanakan dalam menyambut Maulidur Rasul SAW :

Detik yang bersejarah ini sewajarnya menjadi titik tolak untuk kita terus bermuhasabah sajauh manakah kecintaan kepada Rasulullah SAW yang cinta terhadap umatnya sesungguhnya tiada tandingan. Oleh itu Sunnah Bagindalah yang menjadi penyelamat kita daripada tergelincir di jurang kesesatan. Sebagaimana penegasan Baginda yang bermaksud, “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selagi berpegang kepada kedua-duanya iaitu Kitabullah dan Sunnah RasulNya.” Antara tanda kecintaan kita terhadap Junjungan SAW ialah dengan mengamalkan ajaran Rasulullah dari sudut akidah, syariah mahupun akhlak Baginda yang mencerminkan al-Quran.

Maulidur Rasul juga hendaknya menjadi wadah untuk kita memperbanyak selawat ke atas Baginda serta menghayati fadhilah serta keutamaan selawat.

Jadikanlah Rasulullah SAW sebagai Idola dan menjadikan Maulidur Rasul ini sebagai wadah untuk kita mentarbiyyahkan diri kita dengan meningkatkan pengetahuan mengenai perjuangan Rasulullah SAW sama ada melaui pembacaan, internet dan sebagainya. Sangat malang apabila kita lebih mengenali para artis dan idola kita yang lain berbanding mengetahui perjuangan Nabi, para sahabat dan tabiin serta tokoh-tokoh ulamak yang menjadi pewaris para nabi..renungkan..wallahua'lam...

Pemergianmu
Album : Tiada Lagi Kasih
Munsyid : In-Team
http://liriknasyid.com

(Ya Rasulullah...)
Kau masih tersenyum mengubat lara
Selindung derita yang kau rasa
Senyuman yang mententeramkan
Setiap insan yang kebimbangan
Hakikatnya, tak tertanggung lagi derita
Di pangkuan isterimu Humaira?
Menunggu saat ketikanya
Diangkat rohmu bertemu Yang Esa
Tangan dicelup di bejana air
Kau sapu di muka mengurangkan pedih
Beralun zikir menutur kasih
Pada umat dan akhirat
Dan tibalah waktu ajal bertamu
Penuh ketenangan jiwamu berlalu
Linangan air mata syahdu
Iringi pemergianmu
Oh sukarnya untuk umat menerima
Bahkan payah untuk Umar mempercaya
Tetapi iman merelakan jua
Bahawa manusia ?kan mati akhirnya
Tak terlafaz kata mengungkap hiba
Gerhanalah seluruh semesta
Walaupun kau telah tiada
Bersemarak cintamu selamanya
Ya Rasulullah
Kau tinggalkan kami warisan yang abadi
Dan bersaksilah sesungguhnya
Kami merinduimu

Monday, February 15, 2010

Happy Chinese New Year!!!


Selamat Tahun Baru Cina diucapkan kepada semua siswa siswi kaum Cina di KIST ini... Semoga tahun baru ini memberi cahaya dan peluang baru kepada anda semua...
Didoakan kepada kita semua agar diberi hidayah dan petunjuk daripada tuhan di dalam setiap pekerjaan kita...

Salam Ukhwah.
BDMKIST 2010...

Monday, February 8, 2010

Ibadah Melahirkan Umat Yang Sihat


Penghayatan rukun Islam yang lima amat menguntungkan kesihatan. Sebagai contoh, di dalam konteks puasa, pada tahun 1984, Dr. Soliman dari Universiti Hospital di Amman telah melakukan kajian ke atas 42 orang lelaki dan 26 wanita yang berpuasa Ramadhan. Darah mereka diperiksa untuk mengenal pasti kadar cortisol, testosterone, sodium, potassium, urea, glucose, cholesterol dan asid lemak. Pada ketika yang sama, berat badan mereka ditimbang di awal dan akhir Ramadhan. Di Universiti Sains Perubatan Tehran pula, Dr. F. Azizi dan rakan-rakannya telah membuat kajian ke atas sembilan orang lelaki yang berpuasa Ramadhan. Pemeriksaan darah untuk mengukur kadar glucose, bilirubin, calcium, phosphorus, protein, albumin, follicle stimulating hormone, thyroid stimulating hormone, testosterone, prolactin, luteinizing hormone, thyroxine-4 dan thyroxine-3 telah dilakukan sebelum Ramadhan dan pada hari ke-10, ke-20 dan ke-29 Ramadhan, dan berat badan mereka ditimbang. Secara umumnya, kesihatan mereka didapati berada di tahap yang amat baik dan kadar kolesterol serta lemak mereka menurun.

Kajian-kajian ini menunjukkan, secara amnya, puasa di musim Ramadhan tidak memudaratkan kesihatan umat Islam. Malah ia memberi kesan yamg baik kepada metabolisme lemak sekali gus membantu mengawal berat badan seseorang. Puasa juga dapat meredakan tekanan ke atas jiwa seseorang kerana, di samping tidak makan, minum dan bersetubuh di siang hari, umat Islam digalakkan membaca Al-Quran, memperbanyakkan solat sunat, menjaga lidah dan banyak bersedekah. Amalan-amalan ini menguatkan dan mendamaikan hati.

Solat juga mempunyai kebaikan di sudut kesihatan. Ia adalah zikir yang yang paling utama bagi seseorang Muslim. Imam Abu Al-Aliyah berkata: “Solat mempunyai tiga keistimewaan, dan jika tidak ada keriga-tiga ini di dalam sesuatu solat, solat itu dianggap tidak berfaedah sama sekali. Keistimewaan-keistimewaan itu ialah ikhlas, khusyuk dan zikrullah”.
Solat dipenuhi dengan zikir dan bacaan Al-Quran dan sehubungan dengan ini, Dr. Ahmed El-Kadi dari Klinik Akbar di Panama City, Florida, membuat satu kajian berhubung kesan mendengar Al-Quran ke atas fisiologi manusia. Di antara aspek fisiologi yang diambil kira di dalam kajian ini ialah, kadar denyutan jantung, tekanan darah serta tekanan ke atas saraf dan otot. Beliau mendapati, mereka yang mendengar Al-Quran, termasuk dari kalangan yang bukan Islam dan bukan Arab, mengalami perubahan fisiologi yang positif di dalam diri mereka.

Umat Islam juga diwajibkan berwudhuk (perform ablutions) sebelum bersolat dan bagi mereka yang berjunub, mandi wajib perlu mereka laksanakan sebelum bersolat. Amalan berwudhuk lima kali sehari mampu membersihkan anggota badan dari kotoran yang melekat padanya. Berhubung dengan mandi wajib selepas mengadakan hubungan seks, kesan positifnya kepada kesihatan tidak boleh disangkal lagi. Pakar-pakar perubatan dari Institut Teknologi Pengajian Kesihatan di Washington menyatakan, untuk mencegah dari penyakit jangkitan seksual (STD), kebersihan diri sebelum dan selepas mengadakan hubungan seks, seperti segera membasuh anggota sulit selepas mengadakan persetubuhan adalah penting. Malah pakar-pakar dari institut ini juga menggalakkan seseorang mandi secara sempurna selepas mengadakan hubungan seks sebagai langkah pencegahan dari penyakit-penyakit ini. Semua ini sebenarnya telah diajar oleh Islam kepada umatnya 1430 tahun dahulu.

Ketika melakukan solat, umat Islam wajib sujud dengan meninggikan punggung dan meletakkan dahi serta kepala mereka ke bumi. Mengikut kajian, kedudukan ini, jika dilakukan dari masa ke semasa, amat baik untuk kecergasan otak. Mereka yang sering melakukan yoga amat menyedari hakikat ini kerana salah satu senaman yoga yang popular ialah Adha Mukha Syanasana. Kedudukan yoga ini ialah meninggikan punggung dan merendahkan kepala ke bumi. Mengikut Dr. Roger Cole, seorang pakar di dalam bidang fisiologi dan pusingan biologi dan juga guru Yoga Ivengar yang bertauliah, “kedudukan ini amat baik untuk kesegaran badan di samping mampu meredakan tekanan, mengukuhkan otot-otot, menghilangkan sakit belakang dan pening kepala serta mengawal penyakit darah tinggi, asma, sakit saraf dan resdung”.

Sebenarnya otak manusia menggunakan 25% dari oksigen yang terdapat di dalam badan walaupun beratnya hanya 3% dari keseluruhan berat badan. Di dalam keadaan biasa sebahagian sel-sel otak tidak mendapat keperluan oksigen yang diperlukan kerana jantung terpaska mengepam darah ke atas sekali gus melawan tekanan graviti. Ketika sujud, darah akan turun ke otak dengan mudah dibantu oleh tekanan graviti, dan dengan itu menambahkan bekalan oksigen ke otak. Di dalam keadaan ini, otak manusia menjadi semakin cergas dan fokusnya semakin mantap. Peter Russell di dalam bukunya The Brain Book berpendapat: “Otak manusia beroperasi 7% lebih cepat dan 14% lebih tepat di dalam keadaan kepala mereka di bawah (inverted)”. Penemuan-penemuan positif yang saintifik berhubung dengan kebaikan merendahkan kepala di bawah telah meransang satu sistem rawatan baru pada hari ini yang dikenali sebagai inversion therapy. Dengan menggunakan alat-alat tertentu, seseorang dibalikkan dari atas ke bawah bertujuan untuk mengalirkan darah dari kaki ke kepala dengan bantuan tekanan graviti, semata-mata untuk menjaga kesihatan diri.

Sujud umat Islam yang dilakukan paling kurang 34 kali sehari semalam melalui solat fardhu, tidak memerlukan sebarang alat dan mesin. Ia merupakan pendekatan yang amat sederhana yang mampu dilakukan oleh semua orang, tidak kira yang tua atau muda, dan kesannya kepada kesihatan tidak dapat disangkal lagi. Solat mengandungi banyak rahsia dan kebaikan yang baru difahami pada hari ini, justeru beruntunglah mereka yang sentiasa melakukan solat semata-mata untuk mencari keredhaan Ilahi….wallahu’alam.