Facebook

Saturday, August 22, 2009

RAMADHAN



MARI MAKSIMUMKAN BONUS RAMADHAN

Bagi memastikan kesohihan puasa serta mampu memaksimakan pahala dan keuntungan dari Ramadhan, amalan yang berdasarkan nas yang kuat berikut perlu dilakukan:-



1) Berniat dalam hati untuk berpuasa di malam hari.



2) Besahur di akhir malam (yang terbaik adalah jaraknya dengan azan subuh selama bacaan 50 ayat al-Quran secara sederhana). Nabi SAW bersabda :

" Perbezaan di antara puasa kami (umat Islam) dan puasa ahli kitab adalah makan sahur" (Muslim, 2/770).

Selain itu, Nabi juga bersabda : "Bersahurlah kamu, kerana pada sahur itu ada barakahnya" ( Al-Bukhari, 4/1923 ; Muslim).

Baginda SAW juga menyebutkan bahawa Malaikat sentiasa meminta ampun bagi orang yang bersahur. (Riwayat Ahmad, 3/12 ; Hadith Hasan).

Selain makan tatkala itu adalah amat digalakkan kita untuk mendirikan solat sunat tahajjud, witr dan beristifghar dan lain-lain amalan sebelum menunaikan solat subuh berjemaah(bagi lelaki).

Adalah amat tidak digalakkan bagi seseorang yang bersahur dengan hanya makan di sekitar jam 12 malam sebelum tidur. Kebanyakan individu yang melakukan amalan ini sebenarnya amat merasa berat dan malas untuk bangun di tengah malam. Ia pada hakikatnya adalah tidak menepati sunnah yang diajarkan oleh Baginda SAW.



3) Memperbanyakkan bacaan Al-Quran dengan tenang dan tidak tergesa-gesa.

Terdapat ramai ulama silam menyebut tentang kepentingan mendahulukan membaca al-quran di atas amalan sunat seperti menelaah kitab, membaca hadith dan lain-lain. Ia adalah salah satu amalan yang paling diambil berat oleh Nabi SAW ketika baginda membacanya bersama Malaikat Jibrail as. Hal ini disebut di dalam hadith al-Bukhari.



4) Memperbanyakkan doa semasa berpuasa.


Sepanjang waktu kita sedang menjalani ibadah puasa, ia adalah sentiasa merupakan waktu yang sesuai dan maqbul untuk kita berdoa, sebagaiaman di tegaskan oleh Nabi S.a.w :-


ثلاثة حق على الله أن لا يرد لهم دعوة : الصائم حتى يفطر والمظلوم حتى ينتصر والمسافر حتى يرجع


Ertinya : Tiga yang menjadi hak Allah untuk tidak menolak doa mereka, orang berpuasa sehingga bebruka, orang yang dizalimi sehingga dibantu, dan orang bermusafir sehinggalah ia pulang" (Riwayat Al-Bazaar,

Sebuah hadis lain yang hampir sama maksudnya menyebutkan :-


ثلاثة لا ترد دعوتهم : الصائم حتى يفطر والإمام العادل ودعوة المظلوم


Ertinya : Tiga yang tidak ditolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, pemerintah yang adil dan doa orang yang dizalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Ibn Khuzaimah ; Hadis Hasan menurut Imam At-Tirmidzi dan Ibn Hajar, sohih menurut Syeikh Ahmad Syakir)



5) Memperbanykan doa ketika hampir berbuka


Ini kerana tahap maqbul tatkala itu semakin hebat berdasarkan hadith Nabi s.a.w :


إن للصائم عند فطره لدعوة ما ترد


Ertinya : Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala wkatu berbukanya,adalah waktu doa yang tidak ditolak ( Riwayat Ibn Majah ; Sohih)



6) Menyegerakan berbuka puasa selepas kepastian masuk waktu maghrib.


Berdasarkan hadith Nabi SAW :


لا يزال الناس بخير ما عجلوا الفطر


Ertinya : "Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan sepannjang kamu menyegerakan berbuka" ( Riwayat Al-Bukhari, 4/1957).

Berbuka juga perlu didahulukan sebelum menunaikan solat maghrib, malah jika pada hari tersebut tahap kelaparan kita agak luar biasa, lebih baik kita berbuka dan makan sekadar kelaparan tidak mengganggu solat Magrhib kita.

Disebutkan bahawa tidaklah Nabi SAW menunaikan solat Maghrib kecuali setelah berbuka walaupun hanya dengan segelas air. (Abu Ya'la dan al-Bazzar : hadith Hasan).



7) Adalah digalakkan pula untuk berbuka dengan beberapa biji rutab ( kurma basah) atau tamar (kurma kering) sebagai mengikuti sunnah, dan jika tiada keduanya mulakan dengan meneguk air.


كان رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏يفطر على رطبات قبل أن يصلي فإن لم تكن رطبات فعلى تمرات فإن لم تكن ‏ ‏حسا ‏ ‏حسوات ‏ ‏من ماء


Ertinya : Rasulullah s.a.w berbuka dengan kurma basah (rutab) sebelum solat dan sekiranya tiada rotab, maka tamar dan jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air" ( Riwayat Abu Daud, Ahmad & At-Tirmidzi)

(Riwayat Abu Daud, 2/2356 : Hadith Hasan).

Sambil memboca doa berbuka yang sohih dari nabi iaitu


ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله


" Zahaba az-Zama u wabtallatil ‘uruq wathabatal ajru InsyaAllah"

Ertinya : "Telah hilanglah dahaga, telah basah ular leher dan telah tetap mendapat pahalanya InshaAllah " Riwayat Abu Daud, 2/2357 : Hadith Hasan menurut Albani). Atau doa-doa makan yang biasa.



8) Amat disunatkan untuk menyedeqahkan harta bagi mempersiapkan juadah berbukauntuk orang ramai terutamanya orang miskin. Nabi SAW bersabda :


‏من فطر صائما كان له مثل أجره غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شيئا


Ertinya : Barangsiapa yang memberikan juadah berbuka buat orang yang berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa kurang sedikit pun" ( Riwayat At-Tirmidzi, 3/807; Hadith Hasan menurut Imam At-Tirmidzi).

Disebut dalam sebuah hadis lain


ومن أشبع صائما سقاه الله من حوضي شربة لا يظمأ حتى يدخل الجنة


Ertinya : Barangsiapa yang mengenyangkan seorang yang berpuasa ( berbuka), Allah akan memberinya minum dari telagaku ini dengan satu minuman yang tidak akan haus sehinggalah ia memasuki syurga " (Riwayat Al-Baihaqi ; Ibn Khuzaymah dalam Sohihnya : rujuk juga Tuhaftul Ahwazi, )



9) Menunaikan solat sunat terawih pada malam hari secara berjemaah buat lelaki dan wanita atau boleh juga dilakukan secara bersendirian. Ia berdasarkan hadith riwayat An-Nasaie yang sohih.

Boleh juga untuk menunaikannya separuh di masjid dan separuh lagi di rumah, terutamanya bagi sesiapa yang ingin melengkapkan kepada 20 rakaat.



10) Memperbanyakkan bersiwak (iaitu menggunakan kayu sugi tanpa air dan ubat gigi). Ia juga sohih dari Nabi SAW dari riwayat al-Bukhari.



11) Amaran bagi berbuka di siang ramadhan tanpa uzur :

Nabi SAW bersabda dalam hadith sohih ancaman berat dengan digantung di dagunya dengan terbalik hingga darah mengalir bagi individu cuai. (lihat Al-Muntaqa min At-Tarhib wa targhib).

Selain itu, Nabi juga menyebut bahawa : "Barangsiapa yang berbuka tanpa uzur pada Ramadhan, maka ia tidak mampu mengantikan kerugian dari puasa yang ditinggalkan itu, walaupun ia berpuasa selama-lamanya" ( Riwayat Abu Daud, Ibn Majah)

Sekian dan Ramadhan Kareem..

Zaharuddin Abd Rahman


http://www.zaharuddin.net/

Tuesday, August 18, 2009

PANDUAN PERLAKSANAAN USRAH


1. Muqaddimah:


Usrah bertujuan membina ukhuwwah Islamiyah yang kental di kalangan anggota gerakan berasaskan iman dan ilmu yang mendorong peningkatan amal dan jihad. Seperti yang diakui bahawa kemantapan gerakan bergantung besar keberkesanan usrah-usrah yang bertebaran di seluruh negara. Keberkesanan usrah-usrah pula bergantung kepada disiplin yang tinggi di kalangan anggota-anggotanya. Sebagai langkah untuk memperkukuhkan usrah, maka Biro Tarbiyah cuba menyusun kembali aspek yang berkaitan dengan disiplin usrah supaya dapat digunakan sebagai panduan bagi mengemaskan perlaksanaan program yang penting ini.

Sebahagian besar dari kandungan panduan ini adalah dikutip dari tulisan-tulisan Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin yang bertajuk Sekitar Usrah I dan Sekitar Usrah II (1979), Panduan Usrah (1981) yang disediakan oleh Allahyarham Ustaz Abdul Wahab Zakaria dan Risalah Tarbiyah (1994) yang disediakan oleh Ustaz Abdul Halim El-Muhammady. Gambaran yang lebih luas dan mendalam boleh diperolehi dengan merujuk kepada tulisan-tulisan ini.
Panduan Perlaksanaan Usrah ini disusun bagi mewakili perlaksanaan usrah teras yang melibatkan Ahli Jawatankuasa Kerja ABIM diberbagai peringkat. Kami percaya bahawa perlu adanya fleksibiliti dalam perlaksanaan mengikut berbagai sifat usrah yang ada, namun sebahagian besar dari kandungan dalam panduan ini boleh dijadikan sebagai piawai bagi mengukur kekemasan disiplin usrah-usrah tersebut.

2.Agenda Usrah:

Agenda I Solat Maghrib dan Bacaan Ma’thurat Sughra 30 minit
Agenda II Jamuan 30 minit
Agenda III Solat Isya’ 20 minit
Agenda IV Tafsir Quran/Huraian Hadith/Perbincangan
Berasaskan Buku dan Hafazan 60 minit
Agenda V Perbincangan Topik-Topik Khas, Hal Ehwal
Semasa dan lain-lain 40 minit
Jumlah Masa 180 minit

3.Solat Maghrib dan Bacaan Ma’thurat:

Setiap anggota mestilah merancang untuk sampai ke tempat usrah lebih awal supaya Solat Maghrib dapat ditunaikan secara berjamaah.Sekurang-kurangnya Ma’thurat Sughra, mestilah dijadikan bacaan wajib yang dibaca secara berjamaah iaitu sebaik sahaja selesai Solat Maghrib.

4. Keanggotaan Usrah:

Anggota usrah seharusnya di antara 7 hingga 15 orang, kecuali usrah umum atau usrah gabungan. Sekiranya bilangan melebihi had ini, suatu kumpulan usrah baru mestilah diwujudkan secara berasingan.

5. Jamuan:

Jamuan hanyalah sebagai pengalas perut kerana itu ia haruslah disediakan secara sederhana dan ringkas.

6. Tafsir Quran/Huraian Hadith/Perbincangan Berasaskan Buku dan Hafazan:

Tafsir Al Quran dan Huraian Hadith boleh diselangseli pada setiap minggu. Seorang Petugas Utama bagi tujuan Tafsir Quran dan Huraian Hadis mestilah ditentukan. Petugas Utama ini mestilah membuat persiapan awal dengan rujukan-rujukan dan catatan ringkas bagi tujuan pembentangan.

Tugas juga dipertanggungjawabkan kepada anggota-anggota lain untuk membuat persiapan untuk tajuk yang sama tetapi berdasarkan kitab-kitab dan rujukan yang berlainan.

Sebelum perbincangan diadakan adalah di sarankan agar ayat-ayat yang telah dipilih dibaca secara jahar oleh salah seorang dari anggota usrah dan diikuti bacaannya oleh anggota-anggota yang lain.

Adalah disarankan agar perbincangan-perbincangan tersebut dapat ditulis kembali secara dan diedar kepada anggota usrah pada minggu berikutnya. Tugas ini boleh dipergilirkan antara anggota usrah.

Ayat-ayat Hafazan (Lampiran A) mestilah dihafaz atas inisiatif sendiri. Sekiranya ada anggota usrah yang ingin tasmi’ bagi menguji bacaannya, maka bolehlah digunakan sedikit masa untuk tujuan tersebut. Peruntukan masa untuk tujuan ini tidak harus melebihi sepuluh minit.

Dalam usaha membina budaya ilmu di kalangan anggota-anggota, adalah disarankan supaya setiap anggota diwajibkan membaca sekurang-kurangnya satu buku sebulan. Anggota usrah mestilah melaporkan tajuk buku yang telah dibacanya setiap bulan kepada Naqib. Naqib boleh memilih satu atau dua orang untuk memberi ringkasan kandungan buku yang telah dibaca.

Bahan –bahan yang disediakan di laman sawang ABIM & MINDA MADANI Online boleh
digunakan oleh usrah-usrah di semua peringkat. Alamat adalah seperti berikut
http://www.abim.org.my


7. Perbincangan Topik-Topik Khas, Hal Ehwal Semasa dan lain-lain:

Ruang waktu ini digunakan untuk membincangkan topik-topik khas mengenai Fiqh Harakah, persoalan-persoalan yang berkaitan dengan Fiqh, Aqidah dan Akhlaq serta hal-hal yang berkaitan dengan Organisasi. Tugas membuat persediaan bagi tajuk-tajuk yang dipilih boleh dipergilir di antara ahli-ahli usrah.

Ruang masa ini digunakan untuk membincang perkembangan sosio-ekonomi dan politik yang berlaku di dalam dan di luar negara terutama yang berkaitan dengan kepentingan umat Islam. Masa ini juga perlu digunakan untuk meneliti perkembangan kegiatan dan program-program ABIM di berbagai peringkat serta menentukan bagaimana anggota usrah boleh terlibat bagi menjayakannya.

Kesempatan perlu juga diberi bagi membahaskan isu-isu yang dibangkitkan menerusi RISALAH, Demi Masa, Berita ABIM dan Islamic Review dan lain-lain risalah dan majalah yang dikeluarkan oleh ABIM.

Ruang masa ini juga perlu digunakan untuk menentukan projek-projek kecil yang boleh dijayakan oleh unit usrah sebagai susulan berbentuk amal bagi kepentingan ahli usrah atau masyarakat sekeliling. Semasa bulan Ramadhan, agenda usrah boleh disesuaikan untuk membolehkan Solat Tarawikh dikerjakan secara berjamaah atau untuk membolehkan sesi Tadarrus Quran diadakan.


8. Tempat dan Tempoh Masa Usrah

Usrah sepatutnya berakhir pada jam 10.30 malam dan tidak sepatutnya melebihi jam 11.00 malam. Tempat usrah adalah rumah ahli-ahli usrah sendiri dan hendaklah dipergilirkan dengan jadual yang disediakan terlebih dahulu. Penggunaan markas atau sekretariat sebagai tempat usrah mestilah dielakkan.

9. Tabung Usrah

Tabung Usrah atau disebut juga sunduq al-usrah perlu diwujudkan khususnya untuk usrah-usrah di semua peringkat. Jumlah sumbangan untuk tabung ini adalah bergantung kepada kesanggupan masing-masing. Sumbangan dengan kadar yang disanggupi ini hendaklah dibuat secara berterusan pada setiap usrah tanpa mungkir. Jumlah bayaran yang tertangguh hendaklah dianggap sebagai hutang yang perlu dibayar. Kewujudan tabung ini diharap dapat membantu membina budaya infaq di kalangan ahli-ahli usrah di samping kutipannya dapat digunakan untuk
membantu meringankan bebanan ahli-ahli yang menghadapi masalah kewangan.

10. Adab dan Akhlaq Usrah

o Mengikhlaskan hati dengan meyakini bahawa kehadiran ke usrah sebagai suatu kewajipan gerakan yang penting, sebagai suatu amalan yang disukai Allah swt dan sebagai suatu ibadah yang bakal diganjari pahala olehNya.

o Mengenepikan program-program lain bagi membolehkan diri hadir ke usrah seperti yang dijadualkan setiap minggu.

o Anggota-anggota yang lain juga seharusnya turut membuat persiapan-persiapan awal sama ada dari segi pembacaan dan rujukan sebelum menghadiri usrah. Keperluan-keperluan lain seperti buku catatan, kitab-kitab Al Quran dan Hadis serta lain-lain turut dibawa bersama.

o Menepati masa dalam semua urusan termasuk kehadiran, perlaksanaan setiap agenda usrah dan juga masa ketika menamatkan usrah. Berusaha untuk berada dalam jamaah usrah selama mana yang boleh. Elak dari pulang sebelum usrah tamat.

o Menjadikan kesempatan berusrah sebagai tempat menterjemahkan akhlaq dan budi pekerti mulia seperti kasih sayang dan ukhuwwah, kerjasama dan ‘amal jama’iy, sikap terbuka, bertolak ansur dan saling memaaf satu sama lain.

o Menghormati adab-adab majlis seperti memberi salam semasa tiba dan pulang, memberi kelapangan tempat duduk kepada yang lain, tidak meninggikan suara semasa perbincangan dan menghormati naqib yang mengendalikan majlis. Adab-adab yang lain seperti adab ziarah dan juga adab makan mestilah juga diamalkan.

o Adab dan akhlaq yang lain dapat dirujuk dalam Risalah Tarbiyah (1994).


11. Program Susulan Berkala

Anggota usrah mestilah juga merancang untuk mengadakan program-program lain sebagai lanjutan dari usrah yang biasa bagi tujuan pengukuhan nilai-nilai yang telah ditanam. Program-program berikut perlu dilaksanakan oleh usrah-usrah:

o Qiyamullail : Sekurang-kurangnya program ini diadakan sebulan sekali. Boleh dilaksanakan dengan melibatkan anggota usrah yang ada atau bersama gabungan usrah-usrah yang lain.

o Usrah Gabungan : Usrah gabungan perlu diadakan dua atau tiga bulan sekali dengan penglibatan kumpulan-kumpulan usrah yang lain. Pengisian program ini bergantung kepada kesesuaian mengikut pertimbangan pimpinan ABIM dan naqib-naqib usrah yang terlibat.


o Hari Keluarga Usrah : Rehlah yang melibatkan keluarga anggota usrah perlu diadakan supaya rasa persaudaraan dan ukhuwwah dapat dibina dalam lingkungan yang lebih luas di samping memberi kesempatan anggota keluarga memahami dan mengongsi sebahagian dari idealisme perjuangan. Program ini perlu diadakan sekurang-kurangnya sekali dalam masa enam bulan.

o Program Angkat : Untuk menentukan kesan usrah melebar kepada masyarakat, setiap kumpulan usrah perlu memilih suatu projek kecil yang secara langsung memberi faedah kepada masyarakat. Kumpulan usrah boleh mengenalpasti beberapa orang anak yatim yang masih bersekolah untuk dibantu secara berterusan, atau membina dan menyelia-selenggara satu pondok menunggu bas (bus stop) atau lain-lain projek kecil yang difikirkan sesuai bergantung kepada kreativiti usrah masing-masing.

12. Jadual Tahunan

Satu jadual tahunan perlu disediakan sebagai panduan umum. Jadual ini perlu menyatakan tarikh usrah, giliran rumah, tajuk perbincangan dan lain-lain butir yang berkaitan dengan usrah. Walaupun beberapa perubahan akan berlaku kerana tuntutan keadaan, namun usaha mestilah dibuat untuk seboleh-bolehnya mengikuti apa yang telah dijadualkan.

13. Penilaian, Muhasabah dan Laporan.

Penilaian serta muhasabah perlaksanaan usrah perlu dibuat setiap bulan bagi menentukan perjalanan usrah mematuhi format yang telah ditentukan di samping melihat keberkesanan usrah serta langkah-langkah wajar yang perlu diambil untuk memperbaikinya.

Laporan ringkas berdasarkan format yang disediakan (Lampiran B) hendaklah disampaikan kepada Naib Yang Di Pertua Daerah atau Negeri bagi memudahkan pemantauan. Laporan ini hendaklah disiapkan setiap tiga bulan.

Oleh : Ahmad Syahin Bin Mohd Amin

KEAHLIAN BDMKIST

Monday, August 10, 2009

Seruan Kepada Muslimin dan Muslimat

Pandangan sinis menerpa
Dari mata-mata yang memandang
Gergasi-gergasi dunia berdiri tegak
Dengan segala kekuatan yang ada
Tangan-tangan yang kuffar mengangkat senjata
Berusaha melenyapkan kalimahtullah di muka dunia

Mana kesedaran kita
Wahai diri-diri yang mengaku muslim??
Diri-diri kerdil ini
Dikelilingi haiwan buas
Yang akan memakan naluri insaniah yang murni

Di mana amanahtullah
Yang diletakkan di pondok kita??
Berdirilah wahai muslimin muslimat
Bangunlah...
Sucikanlah fitnah-fitnah yang ditaburkan di bumi ini
Jadikanlah keimananmu sebagai senjata
Kesabaranmu sebagai perisai
Gunakanlah ketaqwaanmu sebagai kekuatan
Tawakal Ilallah sebagai harapan untuk menuju
Kemenangan..........

Seruan memakmurkan Masjid Allah

Alhamdulillah kita telah selesai daripada melakukan aktiviti bergotong-royong pada hari Sabtu 8.8.09 yang dihadiri oleh sebahagian ahli Persatuan Badan Dakwah dan Masjid. Saya begitu kagum apabila melihat kerjasama di antara ahli persatuan yang begitu bersungguh -sungguh bergotong-royong membersihkan masjid pada hari tersebut. Komitmen yang telah diberikan oleh ahli persatuan tidak mempunyai maksud lain kecuali untuk melihat Masjid Kampus Ibnu Sina KIST terus-menerus menarik perhatian para mahasiswa untuk menjadikan Masjid sebagai tempat yang paling disukai.



Komitmen yang telah ditunjukkan pada gotong-royong kali ini juga merupakan tanda kerjasama antara ahli persatuan di dalam membangunkan persatuan terus terserlah. Ianya tidak lain kecuali di sebabkan tarbiah yang telah lama diterapkan sebelum ini, terutama daripada Persatuan Badan Dakwah dan Masjid yang telah banyak menganjurkan program-program yang menjadi asas yang dapat menyatukan hati-hati kita dalam melaksanakan kerja-kerja secara berjemaah.



Ingin saya ingatkan bahawa usaha kita didalam melakukan aktiviti-aktiviti seperti ini dapat menguatkan lagi semangat dan istiqomah kita untuk terus melakukan kerja-kerja kebajikan. Walaubagaimanapun keletihan, kepayahan, kecemuhan terkadang terukir di wajah kita yang bersifat lemah ini di dalam melaksanakan kebajikan dan dakwah. Sesungguhnya keletihan, kesakitan, kepahitan dan kepayahan yang kita hadapi bukanlah sia-sia bahkan ianya menjadi tanda bahawa kita bekerja untuk hari yang mendatang dan akan mendapat ganjaran yang besar daripada Allah Swt.



Di dalam al-Quran Allah Swt mengiktiraf dan memperakui bahawa orang yang sebenar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat ialah mereka yang memakmurkan masjidnya, Allah Swt berfirman :



إِنَّمَا يَعۡمُرُ مَسَـٰجِدَ ٱللَّهِ مَنۡ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّڪَوٰةَ وَلَمۡ يَخۡشَ إِلَّا ٱللَّهَ‌ۖ فَعَسَىٰٓ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ أَن يَكُونُواْ مِنَ ٱلۡمُهۡتَدِينَ


" Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, serta tetap mendirikan shalat, emnunaikan zakat dan tidak takut (kepada sesiapapun) selain kepada Allah, Maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk. (Surah Al-Taubah Ayat 18).



Oleh demikian ahli Badan Dakwah dan Masjid perlulah bergerak dan terus bergerak membuat perubahan demi perubahan di kampus. Ingatlah bahawa ianya merupakan satu persatuan yang menjadi harapan semua. Semoga kitalah di antara mereka yang memakmurkan masjid Allah dan terus mendapat petunjuk dan orang yang betul-betul beriman kepada Allah dan hari Akhirat.


oleh : Ahmad Syahin Bin Mohd Amin

Sunday, August 9, 2009

2 NIKMAT yang manusia sering lupa


Tanpa disedari 12 hari lagi kita akan menyambut kedatangan Penghulu segala Bulan iaitu Ramadhan Al Mubarak. Dan pada masa inilah ramai umat Islam sedang bersiap sedia untuk bertemu dengannya melalui puasa sunat dan lain-lain.

"Manusia biasanya lebih menghargai sesuatu yang sukar diperoleh tetapi sering melupakan nikmat yang telah tersedia". Mengenai nikmat, Junjungan Besar kita Nabi Muhammad SAW ada bersabda, "Ada dua nikmat yang mana manusia sering lupa kepadanya, (assihhatu) nikmat kesihatan, (wal faragh) dan nikmat masa lapang".

Baginda telah mengingatkan kita mengenai dua nikmat yang selalu manusia lupa. Memang benarlah sabdaan baginda tersebut, kerana pada masa kini, telah ramai hamba ALLAH yang asyik lalai dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Gejala sosial yang berleluasa membuktikan manusia lupa kepada nikmat masa lapang.

Pada hari ini juga, penularan virus H1N1 di seluruh dunia telah menyebabkan banyak negara yang takut akan virus ini. Nikmat sihat akan kita hargai apabila kita telah jatuh sakit.. Jadi, marilah kita nasihat-menasihati antara satu sama lain mengenai dua nikmat ini.
Sesungguhnya benarlah ALLAH dan Rasul-Nya...
Wallahua'lam

Oleh : Mohd Hafizul Amin Bin Sallehudin


Thursday, August 6, 2009

Kursus Kepimpinan 2009

Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah SWT Tuhan Semesta Alam, Selawat dan Salam ke atas Junjngan Besar Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarga dan para sahabat baginda...

Pada tarikh 30 dan 31 Julai 2009, Badan Dakwah dan Masjid KIST (BDMKIST) telah berjaya mengadakan sebuah program,>> iaitu KURSUS KEPIMPINAN 2009. Kursus yang julung-julung kali diadakan ini bertempat di Seri Pantai Resort, Melawi. Objektif utama program tersebut ialah untuk mendedahkan kepada semua peserta, siswa dan siswi mengenai selok-belok perjalanan seorang pemimpin dalam berorganisasi. Selain itu, program ini ingin melahirkan seorang pemimpin yang berani, tabah, berakhlak mulia, cekal, dan mempunyai iltizam yang tinggi dalam menguruskan sesebuah organisasi dalam masyarakat mahupun generasi akan datang selari dengan tema "AKHLAK DIPIMPIN, GENERASI TERPIMPIN".

Peserta-peserta program terdiri daripada ahli BDMKIST dari semua jurusan akademik seramai 30 orang; 5 orang muslimin dan 25 orang muslimat. Kursus bermula pada jam 6 petang iaitu sesi pendaftaran dan juga mendirikan khemah.

Aktiviti mendirikan khemah......

Antara aktiviti dan pengisian lain yang diadakan ialah Kuliah Maghrib, Bengkel Pengurusan Persatuan dan Organisasi (BPPO), Solat Berjemaah, Qiamullail, Ceramah Kepimpinan, dan juga Bengkel Keperluan Berjemaah. Semua aktiviti ini dikendalikan oleh urusetia program dan juga pensyarah-pensyarah dari kolej sendiri.


v Peserta fokus mendengar ceramah ^



<< Ustaz Ahmad Murshidi b Mustapha



Bengkel dalam kumpulan >>






<< Bengkel "Kepentingan Kepimpinan & Dakwah Mahasiswa" yang disampaikan
oleh
Ustaz Ahmad Zakir bin Mohd Amin














Bengkel Keperluan Berjemaah
>>
disampaikan oleh Ustaz Mohd Firdaus bin Abu
dari Alor Star, Kedah















Pembentangan Kumpulan


^ Suap-menyuap menyemai ukhuwwah^
<
Makan berjemaah [dalam talam]>





Majlis Penutup dangan BBQ >>











^Peserta-peserta Kursus Kepimpinan 2009^

Alhamdulillah, program yang dijalankan selama dua hari satu malam ini telah bergerak dengan lancar dan semua peserta telah memberi komitmen yang padu. Sesungguhnya pemuda hari ini adalah PEMIMPIN hari esok..... Semoga program yang telah berlangsung dapat memberi sedikit sebanyak input yang berguna kepada para peserta dan dapat digunakan pada masa akan datang... InsyaALLAH.... Kita juga berdoa agar program seperti ini dapat lagi kita jalankan pada masa hadapan....