Facebook

Tuesday, September 29, 2009

Kata-kata Al-Imam Al-Kubra As-Syafie RA

Imam Syafie Radhiyallahu 'anhu berkata:

  • Tidak layak bagi orang yang memiliki akal fikiran yang bijak dan adab yang tinggi duduk di kampungnya, pergilah berlayar untuk menuntut ilmu.
  • Berlayarlah, maka dengan cara itu engkau akan mendapat ganti atas apa yang telah kau tinggalkan, dan bersusah payahlah kerana kesenangan hidup itu akan dikecapi selepas kita bersusah payah pada mulanya.
  • Aku melihat air akan menjadi rosak jika dia tidak mengalir, apabila dia bergerak dia akan menjadi bersih dan jika sebaliknya dia akan berbau busuk.
  • Dan singa kalaulah dia tidak keluar dari hutan dia tidak akan mendapatkan mangsanya, dan anak panah jika dia tidak lepas dari busarnya pasti tidak akan tepat sasarannya.
  • Dan matahari jika kekal di tempat yang sama pasti akan menjadikan manusia dari orang ajam dan arab menjadi bosan.
  • Dan bulan purnama jika dia tidak hilang pasti tidak akan dinantikan oleh orang yang menantikannya.
  • Bijih emas atau perak ia dianggap sebagai tanah biasa dibiarkan bertempiaran di tanah, dan kayu cendana itu jika ia masih di hutan masih dianggap seperti kayu biasa.
  • Jika dia berpisah dari kediamannya akan menjadi kuat permintaannya dan jika dia berlayar dia akan menjadi mahal seperti emas.

Beliau berkata lagi:

Wahai saudaraku! Kamu tidak akan mendapat ilmu kecuali dengan enam perkara, aku akan memberitahukan kepada kamu perkara itu dengan sejelas-jelasnya.

  • Ianya adalah memiliki otak yang boleh belajar
  • mengutamakan ilmu dari yang lain
  • berusaha sedaya upaya
  • harta yang memadai
  • berdamping dengan guru
  • dan akhir sekali menuntutnya sampai bila-bila.

Monday, September 28, 2009

9 HADIAH UNTUK ORANG BERTAQWA


EDISI 2

Kehidupan orang-orang beriman dan bertaqwa sangat indah dan penuh keberuntungan. Di dunia lagi Allah SWT telah menjanjikan pelbagai hadiah dan keistimewaan bagi orang-orang bertaqwa; sebagaimana digambarkan-Nya di dalam Al-Quran :

1. Sentiasa mendapat petunjuk : “Mereka itulah ( orang-orang yang bertakwa ) yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang beruntung”
( Al-Baqarah: 5 )
2. Diberi penyelesaian daripada masalah : “Dan sesisapa yang bertakwa kepada Allah nescaya akan diberi kepadanya jalan keluar”. ( At-Thalaq: 2 )
3. Dipermudah segala urusan : “Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Allah akan memudahkan beginya swegala urusannya”. ( At-Thalaq : 4 )
4. Mendapat rezeki dari sumber yang tidak terduga : “ Dan memberinya ( orang bertakwa ) rezeki dari sumber yang tidak terduga” ( At-Thalaq : 3 )
5. Dikasihi Allah ( dengan itu akan dikasihi malaikat dan manusia ) : “ Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertakwa”. ( Ali Imran : 76 )
6. Mendapat keberkatan dari langit dan bumi: “Jika seluruh penduduk sesebuah negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi”. ( Al A`raf : 96 )
7. Mendapat keselamatan dan perlindungan dari Allah : “Dan Kami selamatkan orang-orang yang beriman dan mereka adalah orang-orang yang bertakwa”. ( Al Fussilat : 18 ) “….dan bertakwalah kepadaAllah dan ketahuilah Allah bersama ( menolong dan melindungi ) orang-orang yang bertakwa” . ( Al-Baqarah : 194 )
8. Mendapat kemenangan “Sesungguhnya orang-orang bertakwa mendapat kemenangan”. ( An Naba` : 120 )
9. Diberikan Furqan ( petunjuk untuk membezakan yang benar dan yang salah ) : “Jika kamu bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan memberikan kepada kamu Furqan”.
( AlAnfal : 29 )

Sunday, September 27, 2009

PUASA ENAM MENDAPAT GANJARAN PUASA SEPANJANG TAHUN


EDISI SATU


Oleh: Ust. Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Adalah menjadi lumrah bagi kebanyakan umat Islam untuk menggiatkan aktiviti ibadah pada sepanjang bulan Ramadan. Ini adalah kerana pada bulan yang penuh berkat ini Allah 'Azza wa Jalla membuka pintu langitdengan seluas-luasnya untuk menurunkan limpahan rahmat-Nya kepada sekalian hamba-hamba-Nya. Pada bulan yang mulia ini juga segala amalan-amalan berbentuk ketaatan kepada-Nya akan naik secara terus kepada-Nya. Sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
"Apabila masuk bulan Ramadan, maka pintu-pintu langit dibuka"
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya, no: 1899)

Namun demikian apabila Syawal menjelma terdapat ramai umat Islam yang mula lalai serta alpa dalam mengerjakan ibadah. Syawal di lihat seperti bulan untuk berehat dari melakukan amal-amal soleh dan digantikan dengan pesta pembaziran, pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita, memakai pakain yang tidak mengikut spesifikasi syari’at, temasya menonton rancangan televisyen yang berunsur hedonis dan lain-lain lagi. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana pada bulan Ramadan umat Islam seolah-olah berada di dalam sebuah institusi latihan untuk membentuk insan yang bertaqwa dan setelah tamat latihan tersebut ia sepatutnya dapat membantu seseorang untuk mengekalkan ketaqwaan tersebut pada baki sebelas bulan lagi.

Justeru itu seluruh umat Islam sewajarnya mengekalkan peningkatan dalam tahap mengerjakan amal ibadah pada bulan Syawal dan bulan-bulan yang lain. Di antara bukti bahawa Ramadan telah berjaya membentuk keperibadian yang tinggi terhadap seseorang dalam menjadi insan yang bertaqwa adalah dengan mengerjakan puasa sunat Syawal atau lebih dikenali dengan puasa enam bagi masyarakat kita. Dalil disyari’atkan ibadah puasa sunat Syawal adalah sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
"Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringinya dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka seolah-olah dia telah berpuasa sepanjang masa. "
(Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, no: 1164)

Menerusi hadis di atas dapat kita fahami bahawa keutamaan puasa sunat pada bulan Syawal adalah seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun. Menurut Syaikh ‘Abdullah al-Bassam:

Barangsiapa berpuasa enam hari pada bulan Syawal setelah Ramadan maka seakan-akan dia berpuasa fardu setahun. Ini adalah kerana satu kebaikan di balas dengan sepuluh kali ganda sepertinya. Puasa pada bulan Ramadan dibalas dengan ganjaran bersamaan sepuluh bulan (iaitu bersamaan dengan 300 hari), puasa enam hari (pada bulan Syawal) pula mendapat ganjaran sebanyak dua bulan (iaitu bersamaan dengan 60 hari),yang demikian itu menjadi sunah yang sempurna, maka tercapailah pahala beribadah setahun tanpa kesulitan sebagai kurnia daripada Allah dan nikmat ke atas hamba-Nya. – Taudhih al-Ahkam min Bulughul Maraam, jilid 3, ms. 576, Pustaka Azzam.

Cara yang paling utama untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah Hari Raya Aidilfitri secara langsung (iaitu pada tarikh 2 Syawal), berturut-turut sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulamak. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam al-Syafi’i. Namun begitu seseorang juga bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahan mahupun akhirnya bahkan dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut mahupun berpisah-pisah.
~ Let's Discover the Beauty of Islam ~
* INSPIRING DAKWAH, LEADING THE UMMAH *

Wednesday, September 23, 2009

....Salam Eid....


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Zakat Fitrah Rahmat Aidilfitri Utk Org Miskin

Kefarduan mengeluarkan zakat fitrah pada Ramadan adalah bukti bahawa umat Islam perlu hidup bertolak ansur dan bersatu padu tanpa membezakan status ekonomi, keturunan, pendidikan dan kadar ketakwaan. Ini seiring dengan fungsinya untuk meningkatkan daya saing ekonomi kaum dua'fa (orang lemah).

Jelasnya, dengan zakat itu dapat merapatkan jurang pendapatan di antara orang kaya dan miskin. Zakat fitrah adalah tuntutan yang wajib ditunaikan apabila seseorang memenuhi syaratnya. Ia berdasarkan hadis yang bermaksud: "Rasulullah memfardukan zakat fitrah pada Ramadan segantang tamar atau segantang gandum atas orang Islam sama ada hamba sahaya atau merdeka, lelaki atau perempuan, kecil atau besar."

Umat Islam hendaklah bersegera dalam mengeluarkan zakat dengan menyedari bahawa ia adalah antara tuntutan Rukun Islam yang lima.
Sesungguhnya, Islam seseorang belum lagi sempurna jika tidak mengeluarkan zakat. Setiap Muslim hendaklah mengeluarkannya dengan hati terbuka, ikhlas dan bukannya berasakan ia adalah satu paksaan.

Zakat fitrah juga berfungsi membersihkan jiwa pembayar. Hakikatnya, zakat berfungsi sebagai amalan ibadat untuk mendekatkan diri kepada Allah hingga menjauhkan manusia daripada sifat mencintai dunia secara berlebihan dan melupakan hari akhirat. Hikmatnya zakat juga dapat menyucikan diri orang yang berpuasa kerana ada kemungkinan dirinya itu mengalami kesan kelalaian, keros
akan puasanya. Begitu juga dia akan mengelakkan orang fakir dan miskin daripada meminta-minta pada hari raya.


Ibnu Abbas berkata yang bermaksud: "Rasulullah telah memfardukan zakat fitrah sebagai menyucikan orang yang berpuasa daripada sia-sia dan untuk menjadi makanan pada orang miskin." Islam menetapkan lapan asnaf yang berhak menerima zakat. Dalam al-Quran, Allah berfirman maksudnya:

Bagaimanapun, masih ada umat Islam yang mengambil mudah kewajipan berzakat fitrah. Mereka terlupa mengeluarkannya hingga tiba Aidilfitri. Mengikut syarak, zakat fitrah perlu dilakukan sepanjang Ramadan manakala hukumnya menjadi haram selepas solat Aidilfitri. Perkara ini ada disebut Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud; "Zakat fitrah itu dibuat bagi membersihkan orang yang berpuasa daripada percakapan yang sia-sia dan kotor dan makanan bagi orang miskin. Sesiapa yang menunaikannya sebelum solat Aidilfitri, maka itulah zakat yang diterima. Dan sesiapa yang membayar zakatnya sesudah solat, maka itu adalah sedekah biasa saja." (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).

Berdasarkan hadis ini, janganlah kita berlengah untuk berzakat fitrah. Ingatkan ahli keluarga dan rakan supaya ibadat yang difardukan setahun sekali ini dapat dilakukan tepat pada masanya. Dengan segera mengeluarkan zakat, wang itu dapat diagihkan segera kepada mereka yang memerlukan dan berhak menerimanya.

"Sesungguhnya sedekah (zakat) itu hanya tertentu untuk orang fakir, miskin, amil yang menguruskan zakat, muallaf yang dijinakkan hatinya dan hamba yang ingin membebaskan diri (diberi peluang menebus diri tetapi tidak mampu), orang berhutang.
Orang yang berjuang di jalan Allah dan orang musafir (yang kehabisan bekalan)
dalam perjalanan, sebagai kewajipan fardu yang ditetapkan Allah,
dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana"

:: Surah At-Taubah : 60 ::

Tuesday, September 1, 2009

Tazkirah Ramadhan


EDISI SATU (1 SEPTEMBER 2009/11 RAMADHAN 1430)

'Checklist' Amalan di Bulan Ramadhan

4.00 pagi

1.Bangun berdoa kepada ALLAH dengan doa:

“Segala puji bagi ALLAH yang telah menghidupkan aku setelah DIA mematikan aku dan kepada-Nyalah aku akan dikembalikan.”


2.Berniatlah untuk melaksanakan sebanyak-banyak kebaikan hari itu.
3.Mandi dan membersihkan diri.
4.Mengambil whudu' dan memakai pakaian yang suci untuk beribadah, berwangi-wangian.


4.20 pagi

1.Solat sunat Taubat
Rakaat pertama selepas Al-Fatihah baca surah Al-Kafirun, Rakaat kedua selepas Al-Fatihah baca surah Al-Ikhlas. Selepas sembahyang, angkatlah tangan memohon ampun kepada ALLAH. Menangislah menyesali dosa-dosa.

2.Solat sunat Tahajjud.
Rakaat pertama selepas Al-Fatihah baca surah Al-Kafirun, Rakaat kedua selepas Al-Fatihah baca surah Al-Ikhlas. Selepas sembahyang, angkatlah tangan berdoa kepada ALLAH.

3.Solat sunat Hajat
Rakaat pertama baca ayatul Kursi 1 kali Selepas Al-Fatihah Rakaat kedua baca surah Al-Ikhlas 11 kali Ketika sujud terakhir baca 11 kali dan sertakan di dalam hati segala hajat-hajat kita.

4.Solat sunat Witir
Selepas salam, bangun lagi dan sembahyang witir 1 rakaat. Perbanyakkan berdoa kepada ALLAH dengan penuh rasa kehambaan, rendah diri, meminta-minta, merintih-rintih, agar ALLAH ampunkan dosa-dosa kita, terima taubat kita, terima amalan kita, memperkenankan doa dan permintaan kita.



5.00 pagi

1.Makan sahur
2.Mengosok gigi dan membersihkan sisa-sisa makanan di mulut.


5.30 pagi


1.Bersiap menunggu waktu Subuh dengan membaca Al-Quran atau berselawat. Sembahyang sunat Subuh, sembahyang Subuh berjemaah. Selesaikan wirid harian di tikar sembahyang atau baca Al-Quran hingga terbit matahari.

2.Elakkan tidur selepas Subuh, kerana waktu itu adalah waktu paling berkat untuk memulakan pekerjaan.


7.30 pagi

1.Membuat persiapan ke kolej. Melangkah ke kolej dengan membaca Bismillah dan dengan berniat dengan niat yang baik-baik.

2.Mulakan kerja dan pengajian dengan Bismillah dan doa kepada ALLAH agar semua aktiviti kita diberkati-NYA, Sentiasa berselawat kepada Rasulullah SAW samada menyebutnya atau di hati.

3.Banyakkan istighfar/meminta ampun. Melaksanakan kerja dan study dengan bersemangat dan penuh bertanggung jawab. Datangkan rasa bahawa ALLAH sentiasa memerhati kerja-kerja yang dilakukannya dan yakinlah DIA akan membalas segala kebaikan yang kita buat.


10.00 pagi

1.Sembahyang sunat Dhuha, Ia adalah sumber rezeki yang berkat kalau istiqamah diamalkan.

2.Penuhi masa rehat tengahari dengan menambah ilmu atau membaca Al-Quran. Elakkan sungguh-sungguh dari melakukan dosa walaupun kecil dan perkara yang sia-sia.
Contoh dosa-dosa : Mengumpat, mengutuk,menyindir yang menyakitkan orang, bergaul bebas tanpa menjaga syariat seperti berbual dengan yang bukan muhrim mengenai perkara yang tiada sangkut paut dengan study atau kerja-kerja lain….


12.45 tengah hari

1.Bersiap untuk solat Zohor.
2.Menunggu waktu sembahyang dengan berselawat. Solat Zohor berjemaah.
3.Laksanakan juga solat sunat Rawatib. Bersujud syukurlah setelah selesai sembahyang sunat dan wirid sebagai berterima kasih kepada ALLAH yang memberi kita nikmat besar dapat menyembah-NYA.


4.15 petang

1.Bersedia untuk solat Asar.
2.Solat Asar berjemaah. Laksanakan juga solat sunat Qabliyah.
3.Bersujud syukurlah setelah selesai sembahyang sunat dan wirid sebagai berterima kasih kepada ALLAH yang memberi kita nikmat besar dapat menyembah-NYA.


5.30 petang

1.Membeli barang-barang keperluan berbuka dan sahur tanpa berlebih-lebih.
Ingatlah walaupun Syaitan dirantai tetapi nafsu masih ada dalam diri kita!

6.30 petang

1.Memperbanyakkan doa sebelum berbuka kerana di waktu itu adalah masa yang mustajab doa. Ingatlah sabda Rasulullah SAW : "Ramai orang yang berpuasa, yang mereka dapat hanya lapar dan dahaga", merintihlah kepada ALLAH memohon agar amalan kita diterima.

2.Apabila masuk waktu Maghrib, bacalah doa berbuka :

“Wahai Tuhan, kerana Engkaulah aku berpuasa, kepada Engkaulah aku beriman dan dengan rezki engkaulah aku berbuka.”


3.Berbuka puasa dengan makanan yang manis seperti buah kurma dan jangan makan terlalu banyak.

4.Seeloknya setelah memakan kurma dan meminum air, terus menunaikan solat maghrib berjemaah, setelah itu barulah makan makanan yang berat.


8.30 malam

1. Solat Isya' berjemaah dan diteruskan dengan solat Taraweh.
2. Cuba pertahankan solat taraweh walau bagaimana keadaan sekalipun kerana fadhilatnya amat besar. 3. Bacalah Al-Quran dengan penuh tawadhuk, seeloknya baca dengan bertadarus (berkumpulan bergilir-gilir, seorang baca, yang lain menyemaknya), cuba khatamkan membaca Al-Quran paling kurang satu kali sepanjang ramadhan. Kebanyakan imam-imam besar mengkhatamnya dua kali dalam sehari (60 kali sebulan Ramadhan)


11.00 malam

1.Memperbanyakkan istighfar sebelum tidur.
2.Berniatlah untuk puasa esok hari.
3.Tidur awal agar dapat bangun awal untuk beribadah.
4.Bacalah doa tidur…….