Facebook

Saturday, August 28, 2010

Ramadhan - Firdausi Mukmin


Ramadhan - Firdausi Mukmin 
Saudara-saudari, siswa-siswi yang dirahmati Allah sekelian, Ramadhan kian berkhir. Hari ini 17 Ramadhan. Ramadhan sebenarnya adalah syurga firdausi bagi orang-orang mukmin. Oleh itu, di sini ada sedikit cebisan peringatan buat kita semua..
TIP 10 MALAM TERAKHIR
Bulan Ramadhan sudah hampir tiba ke penghujungnya. Wahai muslimin dan muslimat sekalian, rebutlah pahala di sepuluh malam yang terakhir ini sesungguhnya di sepuluh malam yang terakhir ini. “Dimalam itu (Lailatul Qadr) malaikat dan ruh turun dengan izin Tuhan mereka …” (Al-Quran).

Pernah dimalam itu Al-Quran diturunkan dari Luh Mahfuz ke langit dunia, Baitul Izzah. Ramadan 1431H/2010M semakin berakhir. Mukmin sejati semakin menggiatkan ibadah mereka khususnya di seluruh 10 malam terakhirnya, yakin pahala di salah satu dari malam-malam tersebut digandakan pahalanya sebanyak ibadah yang sama dikerjakan selama 1000 bulan! Itulah malam Lailatul Qadar. Pada 10 malam tersebut, demi berebut untuk mendapatkannya, Rasulullah saw mengasingkan dirinya dari isteri-isterinya, beriktikaf di dalam Masjid Nabawi, beribadah dan bermunajat kepada Allah swt sambil diikuti oleh para Sahabat ra. Firman Allah swt bermaksud,

“Sesungguhnya Kami menurunkan (Al-Quran) dalam malam Lailatul Qadr. Tahukah kamu apa itu malam Lailatul Qadr. Malam Lailatul Qadr lebih baik dari 1000 bulan. Malaikat dan ruh turun pada malam itu dengan izin Tuhan mereka dalam semua urusan. Salam (sejahtera) malam tersebut hingga naik fajar” (Al-Quran).

Diantara ibadah-ibadah yang boleh dilakukan ialah qiamulail, puasa fardhu, berbuka, solat Tarawih, tilawah Al-Quran, berdoa, zikir, istighfar, memuhasabah diri, merancang untuk amalan diri, keluarga dan Dakwah dan sebagainya. 

Tips

Beberapa tips dalam merebut pahala dan kelebihan malam Lailatul Qadr :

1. Bersedia untuk merebutnya dari sekarang terutama disegi keyakinan, kesungguhan merebut peluang tahunan ini dan merancang kalender harian agar mengosongkan 10 malam-malam terakhir tersebut untuk tujuan itu semata-mata, tidak untuk kesibukan lain.

2. Memahami bahawa dimana jawatan, kedudukan dan kesibukan kita di dunia ini, tujuan utama manusia dijadikan ialah untuk beribadah kepada Allah swt dengan penuh keikhlasan, bersedia untuk “Hari (Akhirat) yang tiada gunanya lagi harta dan anak-anak, melainkan orang yang bertemu Allah dengan hati yang sejahtera” (Al-Quran).

3. Putuskan dari sekarang masjid mana yang akan kita gunakan untuk Iktikaf, siang dan malam, samada sebahagian atau 24 jam sehari. Pastikan AJK masjid tersebut memahami ibadah Iktikaf dan Qiyamullail 10 Malam terakhir agar tidak berlaku masalah pengurusan dengan mereka yang tidak memahaminya.

4. Dapatkan teman agar sama-sama dapat melakukan ibadah tersebut secara berjemaah.

5. Jika anda bekerja dibawah majikan, kenalpasti hari-hari yang akan dimohon cuti agar dapat lebih hari untuk beriktikaf di masjid. Jika anda tidak dapat mengambil cuti kerja, anda boleh cuba berktikaf di masjid sepenuhnya dalam cuti hujung minggu pada hari Sabtu 31/8/20010 dan Ahad 9/9/2010.

6. Jika anda seorang pelajar, cuba habiskan kerja-kerja rumah atau assignments dari sekarang agar tidak tertimbun pada 10 malam terakhir Ramadan. Beli tiket balik kampung lebih awal agar tidak disibukkan mencari tiket nanti.

7. Bersedia untuk Aidil Fitri lebih awal, sebelum 10 Malam Terakhir, agar kita tidak disibukkan nanti dengan membeli belah, memasang langsir, membuat kuih muih, menyiap atau menjahit pakaian Raya dan sebagainya seperti yang sering berlaku pada ramai orang yang kurang memahami dan menghayati kelebihan 10 malam terakhir Ramadan.

8. Memahami bahawa asas perubahan ke arah kebaikan pada seseorang bahkan pada sesebuah umat ialah pembaikan jiwa yang ada di dalam diri masing-masing. Madrasah 10 Malam Terakhir Ramadan yang bakal dilalui boleh turut membantu mencapai kearah perubahan tersebut.

Semoga Allah mengurniakan ketaqwaan kepada kita setelah menjalani ibadah di bulan Ramadan ini. Kita keluar darinya nanti dengan beroleh rahmah, keampunan dan selamat dari api neraka. Amin…
 

Friday, August 20, 2010

Kasihku Pada Ramadhan

Ramadhan yang penuh makrifat,
Ramadhan yang ditunggu-tunggu,
Ramadhan kekasihku,
memekarkan keberkatan dan kebesaran
Yang Maha Kuasa dan Yang Maha Satu.

Ramadhan yang menyejukkan hatiku
yang melembutkan kerasku
yang mendamaikan gelodak rasaku
yang menghilangkan ammarahku
yang menghadiahkan penghargaanku
buat insan-insan di sisiku
yang menambahkan cinta kasihku
pada Yang Satu.

Ramadhan
Syahrus Shiam
berikan aku kekuatan akal, fizikal, hati dan iman
jauhkan aku daripada perkara yang dikeji
yang mengurangkan keberkatan
ya Mutakkabir

Ramadhan
syahrul Qiyam
malam-malammu malam terindah dalam hidup
malam-malam yg penuh ibadah
malam-malam yang penuh berkat,
lalu,
haruskah aku membiarkan malam-malammu berlalu sepi
tanpa sujud syukurku pada
Ar-Rahman
Ar-Rahim

Ramadhan
syahrul Quran
bait-baitmu adalah puisi agung
yang menyuntik penawar terbaik buat hati dan jiwaku
patah perkataanmu adalah keajaiban
adalah mukjizat dengan nikmat yang tertinggi
yang menjadi peganganku
penunjuk arah dalam langkah perjalananku
yang menyalurkan kasih suciku
buat Yang Maha Agung

Ramadhan
syarul Tarbiyah
hari-harimu adalah satu didikan buatku
yang menundukkan egoku
yang menghilangkan rasa dendamku
yang menjernihkan segala keruh dihatiku
yang memupuk keinginanku menghayati sifat kekasih Allah
yang mulia disisi-Nya

Ramadhan
syarul Jihad
pada setiap langkahku
setiap degup nafasku
setiap denyut nadiku
setiap detik ingatanku

Islam
adalah matahari bagi hatiku
bulan bagi jiwaku
bintang bagi mataku

Ramadhan
perjuanganku menggapai solehah baru bermula
pertemukan aku pada ketibaan-ketibaanmu yang akan datang
rasa rindu dan kasih ini akan selalu mengiringiku sepanjang waktu
selama mana nafas masih menjadi milikku

YA ALLAH
sesungguhnya Engkau tahu setiap bait puisi hatiku




Sunday, August 15, 2010

Walau Seteguk Air, Sahur Pelihara Kesihatan


Amalan bangun sahur ini membezakan antara puasa orang Islam dengan puasa orang Yahudi dan Nasrani (ahli kitab). Hal ini disebut dalam sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, yang bermaksud : “Perbezaan di antara puasa kami dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) ialah adanya makan sahur.”

Sahur adalah satu rahmat dan berkat yang dikurniakan Allah ke atas umat Islam. Anjuran bersahur itu dapat dilihat lagi dalam hadis Nabi bermaksud: “Makanlah sahur, sekalipun dengan seteguk air.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)
Hadis tadi menunjukkan kepentingan bersahur kepada orang yang berpuasa walaupun makan atau minum dengan sedikit saja sekalipun dengan hanya seteguk air. Dalam hadis lain, kelebihan ke atas orang yang bersahur itu ialah seperti sabda       Rasulullah SAW bermaksud : “Sesungguhnya Allah dan malaikatnya mengucapkan selawat (berdoa dan memohon daripada Allah akan keampunan dan keredaan) ke atas orang yang bersahur.” (Hadis riwayat At-Tabrani).
Selain disunatkan bersahur kita juga disunatkan untuk melambatkan waktu bersahur itu kerana amalan itu dilakukan oleh utusan Allah dan sahabat. Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sentiasa umatku dalam kebaikan selama mereka mahu bersegera berbuka puasanya dan mengakhirkan makan sahurnya.” Melewatkan sahur bermaksud bersahur ketika menghampiri waktu Subuh. Berkaitan perkara ini, Zaid bin Thabit pernah berkata: “Kami pernah bersahur bersama nabi, kemudian kami bangun untuk melakukan solat (Subuh). Zaid ditanya : “Berapa lama masa antara kedua-duanya (yakni antara makan sahur dan solat Subuh)?” Berkata Zaid: “Sekadar membaca 50 ayat al-Quran.” (Hadis riwayat Bukhari) Dalam kitab Nailul Authar, disebutkan Imam Ibn Abdil Bar berkata bahawa hadis yang menerangkan kepentingan menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan sahur semuanya bertaraf sahih dan mutawatir. Penekanan Nabi agar sahur dilewatkan dan tidak diabaikan amat signifikan lagi saintifik kerana ia menepati waktu bersarapan pagi. 
Kajian menunjukkan makanan paling utama dalam masa 24 jam ialah sarapan pagi. BBC News pada 7 Mac 2003 melaporkan, bersarapan pagi penting untuk memelihara kesihatan seseorang berbanding mengambil makanan pada waktu lain. Kajian oleh Dr Mark Pereira dan rakannya dari Pusat Perubatan Harvard, mendapati mereka yang tidak bersarapan pagi berisiko tinggi menjadi gemuk, sakit jantung dan menghidap kencing manis. Kajian sama juga menunjukkan, mereka yang sentiasa bersarapan pagi menanggung risiko 50 peratus lebih rendah diserang masalah kesihatan berkaitan lebihan kadar gula dalam darah berbanding yang jarang bersarapan pagi.

Wallahua’lam. -bdmkist.blogspot.com

Saturday, August 7, 2010

Persiapan Sebelum Ramadhan


  1. Merasa gembira dan berdoa
Rasulullah menggembirakan para sahabatnya sempena menyambut ketibaan bulan Ramadhan.
Panduan dan dorongan yang diberikan oleh Rasulullah membuatkan para sahabat merasa gembira menyambut
ketibaan bulan Ramadhan yang mulai.

At-Tabrani dan lain-lain meriwayatkan daripada Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. sebelum tiba bulan Ramadhan, mulai daripada masuk bulan Rejab, seringkali berdoa:

“Ya Allah, berikan keberkatan kepada kami pada bulan Rejab dan Sya’ban, dan sampaikan kami ke bulan Ramadhan”
 2. Berpuasa sunat
Di bulan Sya’ban, Rasulullah s.a.w. memperbanyak puasa sunat. Kita digalakkan memperbanyak puasa sunat ketika di bulan Sya’ban, sebagi mencontohi amalan baginda. Kalau tidak boleh dibuat semua, janganlah ditinggalkan semua.

Yang untungnya kita juga, kerana dapat mengecapi ganjaran pahala dan rahmat Allah s.w.t., bahkan melatih diri untuk berpuasa sebelum datangnya Ramadhan yang mulia



3. Mengqadha puasa wajib
Puasa Ramadhan yang tertinggal wajib diqadha pada bila-bila masa. Bulan Sya’ban merupakan kesmpatan terakhir untuk tahun bagi mengqadhakan puasa yang tertinggal pada tahun sudah.

Maksud peluang terakhir ini ialah bagi mengelakkan membayar fidyah, kerana jika telah masuk
bulan Ramadhan, sedangkan puasa Ramadhan yang lalu yang tertinggal belum diqadha, maka disamping wajib mengqadhanya, wajib juga mengeluarkan fidyah.

Jadi kepada yang belum membayar puasanya lagi, lekas-lekas yea!
 
4. Membayar Fidyah
Fidyah dalam hal puasa bererti membayar denda kerana tidak berpuasa Ramadhan dengan sebab-sebab tertentu atau kerana melambat-lambat mengqadha puasa Ramadhan sehingga masuk Ramadhan yang berikutnya.
Antara sebab wajib mengeluarkan fidyah puasa ialah:

(i)
Tidak berupaya berpuasa. Seorang yang wajib berpuasa tetapi tidak sanggup lagi mengerjakannya disebabkan tua atau lemah. Sekiranya dia berpuasa, dia tidak akan dapat menanggung kepayahannya. Maka orang sedemikian wajib membayar fidyah sahaja dan tidak diwajibkan mengqadha puasanya.

(ii)
Orang yang sakit tidak ada harapan sembuh dan tidak berupaya untuk berpuasa. Maka dia wajib membayar fidyah sahaja, tanpa menqadha puasanya. Sementara orang sakit yang ditakuti akan bertambah sakitnya jika dia berpuasa tetapi ada harapan untuk sembuh, maka tidak wajib baginya berpuasa. Tetapi apabila dia sembuh, wajib ke atasnya mengqadha puasa yang ditinggalkannya itu tanpa membayar fidyah.

(iii)
Perempuan hamil yang sedang menyusukan anak, iaitu jika sekiranya mereka berpuasa maka ditakuti akan mendatangkan mudharat kepada anak yang dikandung atau boleh mengurangkan air susu yang akan memberi kesan kurang baik kepada anak yang menyusu. Dalam hal ini, di samping mereka diwajibkan membayar fidyah, mereka juga wajib mengqadha puasa puasanya. Namun jika dia berbuka kerana takut akan kemudharatan dirinya sahaja, atau takut akan kemudharatan diinya dan juga anaknya, maka wajib dia mengqadha puasa sahaja tanpa membayar fidyah.

(iv)
Orang yang tidak mengqadha puasa pada tahun berkenaan sehingga masuk Ramadhan berikutnya tanpa uzur syar’i. Di samping wajib ke atasnya membayar fidyah (satu cupak bagi sehari puasa), dia juga wajib mengqadha puasa yang ditinggalkan itu. Kadar jumlah fidyah tersebut akan berganda (dua cupak bagi sehari puasa) jika ditangguhkan lagi sehingga datang tahun berikutnya. Demikianlah seterusnya, setahun ke setahun kadar jumlah fidyah akan berganda-ganda jika qadha puasa tidak tertunai.


"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.."
[Surah Al-Baqarah : 183]



Wallahu a’lam.
Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak....(^_^)