Facebook

Friday, December 24, 2010

Rahsia Wudu’ Menurut Biologi



Sejarah silam telah membuktikan bahawa Islam adalah agama yang telah banyak melahirkan ahli-ahli sains. Segala fenomena yang biasa atau luar biasa terlebih dahulu termaktub dalam Al-Qur’an. Hatta zarah pun ada disebut dalam Al-Qur’an.

Ibnu Sina, Al-Razi, Jabir dan ramai lagi saintis Islam sudah lama menghiasi dunia sains dengan penemuan dan penciptaan yang berkaitan dengan Allah SWT. Segala ilmu sains dan keajaibannya sudah diturunkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Sebagai contoh, lalat adalah serangga yang boleh membawa pelbagai penyakit. Dalam hadis Rasulullah SAW ada menyatakan bahawa jika ada seekor lalat telah terjatuh atau terhinggap di minuman kita, kita hendaklah merendamkan kedua-dua belah sayap lalat itu ke dalam minuman kita sebelum meminumnya semula. Ini adalah diriwayatkan bahawa sebelah sayap adalah beracun dan sebelah lagi adalah penawar bagi racun tersebut.

Fenomena ini telah dibuktikan oleh saintis yang menyatakan bahawa memang benar lalat mempunyai sebelah sayap yang membawa penyakit tetapi penawar pada sebelah lagi sayapnya. Unik bukan….! Ini adalah sebahagian daripada bukti bahawa Islam sendiri sudah terkandung 1001 macam ilmu sains yang boleh dikaji.

Kita lihat pengaplikasian tekanan osmosis dalam Islam iaitu semasa kita mengambil wudu’ ataupun ketika bertayammum. Proses osmosis ialah pergerakan molekul cecair dari kawasan berkepekatan rendah ke kawasan berkepekatan tinggi. Pada muka kita, boleh dikatakan terdapat 1001 mikrob atau kuman yang kita tidak sedari. Apabila kita mengambil wudu’, ia akan mengakibatkan segala mikrob yang terdapat pada muka kita akan mati apabila kadar resapan air yang berlebihan ke dalam sel mikrob. Sel mikrob ini akan mengalami pengembangan yang berlebihan dan akhirnya pecah lalu mati.

Berlainan pula apabila bertayammum. Semasa kita menyapukan debu ke muka, tekanan osmosis yang tidak sama akan berlaku di mana air daripada sel-sel mikrob akan keluar bagi mengimbangi tekanan osmosis di kedua-dua medium. Kadar osmosis berlebihan berlaku dan akhirnya sel-sel mikrob akan mengalami plasmolisis iaitu pengecutan sel yang berlebihan secara osmosis lalu mati.

Begitulah keadaannya kepada semua anggota wudu’ yang terlibat. Inilah yang dikatakan hikmah yang tersirat dalam sains mengenai segala dalam ajaran Islam.

Wallahua’lam…

Tuesday, December 21, 2010

Nabi Ibrahim menguji menantunya

Pada suatu hari, nabi Ibrahim as datang ke Mekah bertujuan untuk menziarahi anaknya Ismail. Ketika baginda tiba, nabi Ismail tiada di rumah sebaliknya ada seorang perempuan yang tidak dikenalinya dalam rumah itu. Perempuan itu merupakan menantunya sendiri tetapi baginda memang tidak mengenalinya dan perempuan itu pun tidak mengenali bapa mertuanya iaitu nabi Ibrahim. Tanpa berlengah baginda bertanya kepada perempuan itu tentang nabi Ismail. Perempuan itu memberitahu bahawa nabi Ismail keluar memburu. Apabila disoal tentang suasana kehidupan mereka maka perempuan itu menjawab : " Kami hidup susah dan kesempitan". Nabi Ibrahim bertanya lagi : " Adakah kamu mempunyai tetamu? Adakah kamu mempunyai bekalan makanan dan minuman?". Jawab perempuan tadi :" Kami tidak mempunyai tetamu dan kami juga tidak mempunyai bekalan makanan dan minuman".

Melihat dan memerhati kepada tingkah laku serta jawapan yang diberikan oleh perempuan itu maka nabi Ibrahim mendapati bahawa perempuan itu merupakan seorang tidak berakhlak mulia serta selama ini tidak pernah senang hati hidup bersama nabi Ismail. Dia juga bersifat bakhil dan tidak menghormati tetamu. Sebelum bertolak pulang maka nabi Ibrahim berpesan kepada perempuan tadi yang juga merupakan menantunya : " Sampaikan salamku kepada suamimu dan pesanlah kepadanya agar menukar bingkai pintu rumahnya".
 
Sebaik sahaja nabi Ibrahim meninggal rumah itu maka pulanglah nabi Ismail dalam keadaan seperti orang yang merasakan sesuatu telah berlaku sepanjang sepeninggalannya pergi memburu. Lalu baginda bertanya kepada isterinya :" Adakah ada seseorang datang menziarahimu?". Jawab isterinya :" Ya! ada iaitu seorang tua begini sifatnya telah datang menziarahi dan telah menyoalku tentang dirimu. Aku telah menerangkan segala apa yang berlaku kepadanya". Baginda bertanya lagi :" Adakah dia meninggalkan sebarang pesanan kepadamu?". Jawab isterinya : "Ya! dia telah berkirim salam kepadamu dan meminta aku memberitahumu agar engkau menukar bingkai pintu rumahmu". Mendengar jawapan daripada isterinya lantas nabi Ismail menjelaskan kepadanya :" Itulah dia bapaku dan dia telah memerintahkan aku supaya berpisah denganmu dan pulanglah kepada keluargamu semula". Nabi Ismail terus menceraikan isterinya dan mengahwini perempuan yang lain.

Setelah berlalu beberapa lama masa maka nabi Ibrahim datang semula ke Mekah untuk menziarahi anaknya Ismail. Kali ini sebagaimana yang pernah berlaku ketika penziarahannya yang dulu yang mana nabi Ismail tiada di rumah. Baginda mendapati ada seorang perempuan yang baru dalam rumah anaknya. Perempuan itu menyambut kedatangannya dengan penuh hormat dan diberi layanan yang baik. Nabi Ibrahim bertanya perempuan itu yang juga merupakan menantunya yang baru : " Adakah kamu mempunyai tetamu?". Jawab perempuan itu :" Ya! iaitu engkau". Kemudian baginda bertanya mengenai kehidupan mereka berdua lalu perempuan itu menjawab :" Kami berada dalam keadaan baik dan bahagia". Sambil itu dia memuji-muji Allah. Sebelum pulang nabi Ibrahim berpesan kepada perempuan itu : " Apabila suamimu pulang maka sampaikan salamku kepadanya dan beritahunya supaya terus kekalkan bingkai pintu rumahnya". Kemudian nabi Ibrahim berlalu pergi.

Setelah nabi Ismail tiba di rumahnya maka isterinya telah menceritakan bahawa ada seorang tua yang datang menziarahinya sepanjang ketiadaannya. Dia memberithu tentang rupa bentuk dan sifat lelaki tua itu serta menyampaikan salam dan pesanan daripada lelaki tua itu kepada nabi Ismail. Mendengar penjelasan yang diberikan oleh isterinya lalu nabi Ismail dengan gembira memberitahu :" Dia merupakan bapaku dan dia berpesan agar menjagamu dan jangan menceraikanmu". Nabi Ismail terus hidup bersama isterinya itu sehinggalah beranak cucu. 
 
 
artikel dari ustaznoramin.com 

Wednesday, December 1, 2010

Tahu, Mahu, dan Jihad

Salam. Pembaca yang dihormati sekelian, siswa dan siswi sekalian, marilah kita meningkatkan iman kita dengan melaksanakan perintahNya, dan meninggalkan laranganNya, mudah-mudahn dirahmati Allah...

Artikel kali ini mengenai jihad dan dakwah...

KITA HAMBA, DAI, KHALIFAH..

Manusia ditaklifkan dengan untuk tiga perkara; menjadi a'bid iaitu hamba, daei' iaitu pendakwah dan menjadi khalifah iaitu penjaga alam ini.

Hampir semua orang tahu perkara ini.

Sebahagian dari mereka mahu untuk menjalankan tugas-tugas tersebut.
Tetapi hanya segelintir sahaja yang bermujahadah (jihad) untuk melakukannya.

Kita tahu dosa itu tidak bagus. Kita mahu untuk menghindari dosa.
Tetapi sejauh manakah kita bermujahadah untuk menghindari dari dosa?
Sengaja persoalan tersebut ditinggalkan untuk difikirkan.

Banyak manusia tahu qiamullail itu baik. Ramai juga mahu melakukannya.
Tapi mengapakah kita susah sangat untuk bangun qiamullail.

Kita tahu solat jemaah itu dapat 27 kali ganda. Kita juga mahu mengutip sebanyak pahala untuk bekalan kita di hari akhirat. Tetapi, mujahadah untuk ke masjid? Sangat-sangatlah kurang.

Kita tahu dakwah itu wajib atas umat Islam. Kita mahu untuk berdakwah.
Tetapi mengapakah kita susah sangat untuk bermujahadah untuk berdakwah?

Wahai sahabatku, tahu tanpa amal, bagaikan pokok yang tiada buah. Amal tanpa jihad sia-sia.
Pentingnya jihad bukan di medan perang sahaja, tetapi di medan nafsu dirimu juga.
Kekuatan umat Islam bukan hanya terletak pada ketinggian ilmu, keazaman yang tinggi, tetapi semangat mujahadah yang tinggi juga.

Tapi mengapalah jihad menjadi perkataan yang sensitif?


sumber : iluvislam.com