Facebook

Monday, February 8, 2010

Ibadah Melahirkan Umat Yang Sihat


Penghayatan rukun Islam yang lima amat menguntungkan kesihatan. Sebagai contoh, di dalam konteks puasa, pada tahun 1984, Dr. Soliman dari Universiti Hospital di Amman telah melakukan kajian ke atas 42 orang lelaki dan 26 wanita yang berpuasa Ramadhan. Darah mereka diperiksa untuk mengenal pasti kadar cortisol, testosterone, sodium, potassium, urea, glucose, cholesterol dan asid lemak. Pada ketika yang sama, berat badan mereka ditimbang di awal dan akhir Ramadhan. Di Universiti Sains Perubatan Tehran pula, Dr. F. Azizi dan rakan-rakannya telah membuat kajian ke atas sembilan orang lelaki yang berpuasa Ramadhan. Pemeriksaan darah untuk mengukur kadar glucose, bilirubin, calcium, phosphorus, protein, albumin, follicle stimulating hormone, thyroid stimulating hormone, testosterone, prolactin, luteinizing hormone, thyroxine-4 dan thyroxine-3 telah dilakukan sebelum Ramadhan dan pada hari ke-10, ke-20 dan ke-29 Ramadhan, dan berat badan mereka ditimbang. Secara umumnya, kesihatan mereka didapati berada di tahap yang amat baik dan kadar kolesterol serta lemak mereka menurun.

Kajian-kajian ini menunjukkan, secara amnya, puasa di musim Ramadhan tidak memudaratkan kesihatan umat Islam. Malah ia memberi kesan yamg baik kepada metabolisme lemak sekali gus membantu mengawal berat badan seseorang. Puasa juga dapat meredakan tekanan ke atas jiwa seseorang kerana, di samping tidak makan, minum dan bersetubuh di siang hari, umat Islam digalakkan membaca Al-Quran, memperbanyakkan solat sunat, menjaga lidah dan banyak bersedekah. Amalan-amalan ini menguatkan dan mendamaikan hati.

Solat juga mempunyai kebaikan di sudut kesihatan. Ia adalah zikir yang yang paling utama bagi seseorang Muslim. Imam Abu Al-Aliyah berkata: “Solat mempunyai tiga keistimewaan, dan jika tidak ada keriga-tiga ini di dalam sesuatu solat, solat itu dianggap tidak berfaedah sama sekali. Keistimewaan-keistimewaan itu ialah ikhlas, khusyuk dan zikrullah”.
Solat dipenuhi dengan zikir dan bacaan Al-Quran dan sehubungan dengan ini, Dr. Ahmed El-Kadi dari Klinik Akbar di Panama City, Florida, membuat satu kajian berhubung kesan mendengar Al-Quran ke atas fisiologi manusia. Di antara aspek fisiologi yang diambil kira di dalam kajian ini ialah, kadar denyutan jantung, tekanan darah serta tekanan ke atas saraf dan otot. Beliau mendapati, mereka yang mendengar Al-Quran, termasuk dari kalangan yang bukan Islam dan bukan Arab, mengalami perubahan fisiologi yang positif di dalam diri mereka.

Umat Islam juga diwajibkan berwudhuk (perform ablutions) sebelum bersolat dan bagi mereka yang berjunub, mandi wajib perlu mereka laksanakan sebelum bersolat. Amalan berwudhuk lima kali sehari mampu membersihkan anggota badan dari kotoran yang melekat padanya. Berhubung dengan mandi wajib selepas mengadakan hubungan seks, kesan positifnya kepada kesihatan tidak boleh disangkal lagi. Pakar-pakar perubatan dari Institut Teknologi Pengajian Kesihatan di Washington menyatakan, untuk mencegah dari penyakit jangkitan seksual (STD), kebersihan diri sebelum dan selepas mengadakan hubungan seks, seperti segera membasuh anggota sulit selepas mengadakan persetubuhan adalah penting. Malah pakar-pakar dari institut ini juga menggalakkan seseorang mandi secara sempurna selepas mengadakan hubungan seks sebagai langkah pencegahan dari penyakit-penyakit ini. Semua ini sebenarnya telah diajar oleh Islam kepada umatnya 1430 tahun dahulu.

Ketika melakukan solat, umat Islam wajib sujud dengan meninggikan punggung dan meletakkan dahi serta kepala mereka ke bumi. Mengikut kajian, kedudukan ini, jika dilakukan dari masa ke semasa, amat baik untuk kecergasan otak. Mereka yang sering melakukan yoga amat menyedari hakikat ini kerana salah satu senaman yoga yang popular ialah Adha Mukha Syanasana. Kedudukan yoga ini ialah meninggikan punggung dan merendahkan kepala ke bumi. Mengikut Dr. Roger Cole, seorang pakar di dalam bidang fisiologi dan pusingan biologi dan juga guru Yoga Ivengar yang bertauliah, “kedudukan ini amat baik untuk kesegaran badan di samping mampu meredakan tekanan, mengukuhkan otot-otot, menghilangkan sakit belakang dan pening kepala serta mengawal penyakit darah tinggi, asma, sakit saraf dan resdung”.

Sebenarnya otak manusia menggunakan 25% dari oksigen yang terdapat di dalam badan walaupun beratnya hanya 3% dari keseluruhan berat badan. Di dalam keadaan biasa sebahagian sel-sel otak tidak mendapat keperluan oksigen yang diperlukan kerana jantung terpaska mengepam darah ke atas sekali gus melawan tekanan graviti. Ketika sujud, darah akan turun ke otak dengan mudah dibantu oleh tekanan graviti, dan dengan itu menambahkan bekalan oksigen ke otak. Di dalam keadaan ini, otak manusia menjadi semakin cergas dan fokusnya semakin mantap. Peter Russell di dalam bukunya The Brain Book berpendapat: “Otak manusia beroperasi 7% lebih cepat dan 14% lebih tepat di dalam keadaan kepala mereka di bawah (inverted)”. Penemuan-penemuan positif yang saintifik berhubung dengan kebaikan merendahkan kepala di bawah telah meransang satu sistem rawatan baru pada hari ini yang dikenali sebagai inversion therapy. Dengan menggunakan alat-alat tertentu, seseorang dibalikkan dari atas ke bawah bertujuan untuk mengalirkan darah dari kaki ke kepala dengan bantuan tekanan graviti, semata-mata untuk menjaga kesihatan diri.

Sujud umat Islam yang dilakukan paling kurang 34 kali sehari semalam melalui solat fardhu, tidak memerlukan sebarang alat dan mesin. Ia merupakan pendekatan yang amat sederhana yang mampu dilakukan oleh semua orang, tidak kira yang tua atau muda, dan kesannya kepada kesihatan tidak dapat disangkal lagi. Solat mengandungi banyak rahsia dan kebaikan yang baru difahami pada hari ini, justeru beruntunglah mereka yang sentiasa melakukan solat semata-mata untuk mencari keredhaan Ilahi….wallahu’alam.

No comments: