Facebook

Sunday, November 14, 2010

ORGANISASI BDMKIST 2010-2011



ORGANISASI BADAN DAKWAH DAN MASJID
KOLEJ ISLAM SAINS DAN TEKNOLOGI
SESI SEPT 2010 - DIS 2011


Penaung
En Muhamad Zamly Bin Abdullah

Penasihat
Ustaz Soleh Bin Ibrahim

Pensyarah Pembimbing
Ustaz Abdul Azib Bin Hussin
Ustazah Siti Nor Syila Binti Mohd Nasir

Pengerusi
Ahmad Arsyad Bin Arham

Timbalan Pengerusi
Norimah Binti Razali

Setiausaha
Thalhah Bin Maliki

Timbalan Setiausaha
Suhaida Binti Mashor

Bendahari
Asmie Bin Amin

Timbalan Bendahari
Rabiah Adawiah Binti Ismail@Ahmad


Tuesday, November 9, 2010

Indahnya Islam, Manisnya Iman...



Ujian adalah guru yang tidak bercakap, tetapi ia sangat mengajar dan mendidik. Ujian terkecil apalagi terbesar adalah takdir Allah. Yang mempunyai maksud tertentu. Kerana jahilnya kita, apabila ditimpa ujian samada secara langsung dari Allah atau melalui orang lain, kita mula melatah. Terasa Allah tidak adil, sengaja hendak menyusahkan kita. Atau kita menyalahkan orang yang mendatangkan ujian tersebut. Hati berdendam hati buruk sangka pada Allah yang mendatangkan ujian itu.

Allah Maha Pengasih, jauh sekali Allah takdirkan ujian hanya untuk menyusahkan hamba-Nya. Marilah kita sama-sama cungkil hikmah di sebalik ujian yang ditimpakan. Ujian sebenarnya melatih kita untuk mendapatkan sifat-sifat yang terpuji. Sabar, redha, tawakkal, baik sangka, mengakui diri sebagai hamba yang lemah, mendekatkan diri dengan Allah, mengharapkan pertolongan Allah, merasai dunia hanya nikmat sementara dan sebagainya. Berasa diri berdosa adalah juga sifat terpuji. Sebab itu bagi orang yang sudah banyak melakukan dosa atau lalai daripada mengingati Allah, maka Allah datangkan ujian kesusahan kepadanya. Supaya hamba-Nya tadi tidak tenggelam dalam dosa dan noda.

Kadangkala Allah dedahkan dosa yang dilakukan hingga ramai orang tahu. Bukan untuk menghinakan kita tetapi untuk memberi ingatan supaya kita bertaubat. Dan tidak meneruskan perbuatan dosa itu sehingga bila-bila Ujian juga bermaksud qisas (pembalasan) ke atas dosa-dosa kita. Setiap perbuatan dosa mesti dihukum, samada di dunia atau di akhirat (kecuali kita telah bertaubat sungguh-sungguh sehingga Allah mengampunkan dosa itu).

Bagi orang yang Allah kasih, di dunia lagi Allah hukum, tidak di akhirat. Yakni dengan didatangkan kesusahan, penderitaan, kesakitan, kemiskinan, kehilangan pengaruh dan sebagainya. Sekiranya kita boleh bersabar dan redha, maka itulah ganjaran pahala untuk kita. Sebaliknya kalau kita tidak boleh bersabar dan tidak redha, malah merungut-rungut, mengeluh dan memberontak, hanya akan menambahkan lagi dosa kita.

Begitulah Allah Yang Maha Pengasih kepada hamba-hambanya, tidak mahu hukum kita di akhirat, kerana penderitaan di Neraka berpuluh-puluh kali ganda lebih dahsyat daripada penderitaan di dunia. Sekiranya kita telah dihukum di dunia lagi, kita patut bersyukur kerana apabila kembali ke akhirat, kita telah bersih daripada dosa. Adakalanya, kita ditimpakan kesempitan hidup. Sengaja Allah takdirkan demikian kerana Allah sayang pada kita. Allah hendak melatih kita menjadi orang yang bersabar dan redha dengan takdir-Nya. Mungkin kita akan sombong dan bakhil kalau dikurniakan harta melimpah ruah, maka Allah didik kita dengan kemiskinan.

Apabila kita diuji dengan kesakitan, Allah mahu memberitahu kita bahawa begitulah susah dan menderitanya orang yang sedang sakit. Semoga kita menjadi orang yang bertimbang rasa; menziarahi dan membantu mereka yang menderita sakit. Orang yang sedang sakit, hatinya mudah terusik. Sesiapa saja yang datang dan memberi nasihat, InsyaAllah mudah diterimanya. Bagaimana pula kalau kita diuji dengan kematian orang yang paling kita sayangi. Ujian ini sengaja didatangkan agar terasalah kita ini lemah; tiada kuasa untuk menolak ketentuan Allah. Akan tertanamlah rasa kehambaan di dalam hati, sekaligus membuang rasa bangga diri. 

Begitulah, sebenarnya Allah mahu kita sentiasa beringat-ingat. Agar dengan ujian itu, kita sebagai hamba akan datang untuk mengadu, mengharap, merintih belas ihsan, dan sentiasa merasakan hanya Allah tempat meminta segala-galanya. Ujian juga adalah untuk menilai sejauh mana keyakinan kita kepada Allah. Semakin diuji sepatutnya semakin bertambah iman kita, dan semakin hampir kita dengan Allah.

Firman Allah dalam surah Al Imran; 142 yang bermaksud:
“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, pada hal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antara kamu dan belum nyata orang-orang yang bersabar.”

Firman Allah dalam Surah Az Zumar;10 yang maksudnya:
“Sesungguhnya diberi ganjaran orang sabar dengan pahala tanpa hisab.”

Allah takdirkan ujian demi ujian untuk memberi peluang kepada kita mendapatkan pahala sabar. Barangsiapa yang sabar dan redha tanpa mengeluh, merungut, maka syurga baginya. Oleh itu, apa salahnya Allah uji kita kerana hendak menyelamatkan kita di akhirat kelak! Berbeza pula halnya dengan ujian yang ditimpakan ke atas para Rasul, para nabi, wali-wali dan kekasih-kekasih Allah. Ujian ke atas mereka bermaksud untuk meninggikan darjat dan kedudukan mereka di sisi Allah. Sebab itu ujian yang mereka hadapi berat-berat belaka. Tatkala Rasulullah berdakwah ke Taif, masyarakat Taif bukan sahaja tidak menerima dakwah baginda, malah mencaci, menghina dan melempari baginda dengan batu dan najis. Para malaikat menawarkan diri untuk menghapuskan orang-orang yang berlaku durjana kepada baginda. Tetapi dengan tenang, baginda menjawab:
“Biarkan mereka, jangan diapa-apakan mereka kerana mereka tidak tahu, mereka masih jahil.”

Demikianlah, orang-orang yang tinggi taqwa dan keimananya; tidak mengeluh apabila diuji. Berbeza dengan golongan orang awam seperti kita ni, apabila diuji kita mudah berburuk sangka dengan Allah dan berdendam dengan orang yang mendatangkan ujian kepada kita. Walhal bukan orang itu yang hendak menyusahkan kita, tetapi hakikatnya Allah. Allah yang hendak uji kita, menggunakan orang itu sebagai perantaraan. Jadi, tanyalah Allah kenapa kita diuji….

Marilah kita lihat bandingannya. Katalah suatu ketika guru besar mengarahkan ketua murid merotan seorang murid yang melanggar disiplin sekolah. Apa reaksi murid yang dirotan itu? Kalau dia seorang yang insaf dan tahu diri, ia segera terfikir akan kesalahan yang dilakukannya, mungkin dia berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Itulah murid yang cerdik, dia sedar hikmah di sebalik dia dirotan. Tetapi bagi murid yang tidak mahu berfikir, sudahlah tidak mahu mengaku kesalahannya, dia berdendam pula kepada ketua murid atau guru besar yang merotannya. Mengapa harus berdendam? Ketua murid hanya menjalankan tugas. Guru besar pula menjalankan keadilan; yang bersalah tidak dihukum, tidak ada jaminan yang diatidak mengulangi kesalahannya. Kalau begitu, murid yang bersalah itu layaklah dirotan.

Begitulah halnya dengan Allah yang Maha Pengasih. Berbagai-bagai cara Allah gunakan untuk mendidik kita.Diberikan-Nya ujian demi ujian sebagai peringatan kepada kita. Tetapi sedikit sekali yang mencari hikmah dan mengambil iktibar daripada ujian yang ditimpakan. Malahan ujian membuatkan kita bertambah jauh dari Allah; mengeluh dan menyesali takdir Allah. Marilah kita menyedari akan kesilapan kita selama ini. Terimalah sagala ujian yang besar mahupun yang kecil sebagai satu didikan terus dari Allah. Dan ingatlah, andaikata kita diuji, kita masih wajib bersyukur kerana masih ada 1001 jenis nikmat lain yang Allah kurniakan kepada kita! Jadi mengapa mesti merungut ketika diuji?

Friday, November 5, 2010

Tinta Terakhir…….

 

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani...

Setinggi-tinggi puji dan syukur ke hadrat Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para sahabat, para tabi’e seterusnya kaum muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah.
          Sahabat-sahabat ana sekalian, tugas utama kita yang masih bergelar pelajar Islam ialah menuntut ilmu. Dengan ilmu itu kita mampu mengukur kelemahan diri dan tahu bagaimana untuk memperbaikinya. Dari dengan itu kita akan dapat menambahkan amal bakti kita kepada Tuhan. Bermula dari rentetan baru juga akan bermula tugas kita memperbaiki dan memimpin umat. Jika tidak dengan ilmu itu, akan merosakkan diri sendiri bahana ilmu akan menjadikan kita serba tahu. Sedangkan sebenarnya, orang yang paling tinggi ilmunya itu adalah orang yang paling merasa hina di hadapan Allah Yang Maha Besar.
Pada kesempatan ini, ana ingin mengimbau kembali sejarah atau latar belakang Badan Dakwah dan Masjid Kolej Islam Sains dan Teknologi (BDMKIST) sesi 2009/2010. Badan ini dahulunya dikenali sebagai Badan Surau KIST, namun ia telah ditukarkan kepada Badan Dakwah dan Masjid KIST bagi meluaskan lagi skop dakwah yang hendak dijalankan. Dan ia telah dibentuk dengan rasminya pada April 2009 apabila mesyuarat agung untuk pemilihan Exco utama dan perlantikan Pengerusi baru oleh kerana disebabkan Pengerusi pada ketika itu, Akh Ahmad Syahin akan keluar menjalani praktikal dan tamat pengajian sejurus setelah itu. BDMKIST telah diilhamkan oleh Akh Mohd Hafizul Amin yang merangkap Pengerusi baru pada ketika itu bersama mantan pegerusi, Akh Ahmad Syahin dalam mesyuarat agung itu yang dijalankan di Masjid Ibnu Sina KIST sendiri. Pada permulaan pembentukan AJK, hanya terdapat enam Biro yang ditubuhkan iaitu Sekretariat Pembangunan Modal Insan, Biro Penerbitan & informasi, Biro Kebersihan & keceriaan, Biro Aktiviti, Biro Makanan dan Biro Kebajikan & Helwani. Tetapi selepas beberapa bulan, keperluan untuk mewujudkan dua Biro baru telah dilihat dan dicadangkan oleh saudara Pengerusi sendiri untuk mewujudkan Biro Ekonomi dan Kewangan dan Jawatankuasa Kerja Masjid Ibnu Sina (JKMI) . Sehingga kini terdapat lapan Biro telah ditubuhkan bagi melicinkan pengurusan masjid sekaligus membantu mengendalikan masjid ini agar benar-benar berfungsi seperti yang dituntut di dalam Islam.
            Semenjak penubuhan badan ini, telah banyak program yang dijanakan bagi mendekatkan lagi pelajar KIST dengan Islam. Pihak kami percaya dan yakin bahawa kemelut sosial yang dihadapi oleh golongan remaja masa kini dapat disinari kembali dengan cahaya iman dan Islam. Sesungguhnya, badan ini bakal melahirkan pimpinan pelajar yang berkarisma, berketerampilan dan mempunyai semangat juang yang tinggi. Dengan kata lain badan ini telah menjadi pendorong kepada ahlinya untuk mempraktikkan segala teori dan pengalaman yang diperolehi.
           Sahabat-sahabat ana sekalian, secara amnya, terlalu banyak kelemahan dan kesilapan yang dibuat selama kami memegang amanah dalam saf kepimpinan. Ketahuilah bahawa saf kepimpinan ini merupakan insan biasa yang mempunyai banyak kelemahan dan kekurangan. Sebagai hamba Allah yang daif, pertolongan dan bantuanNya sajalah yang diharapkan dalam melaksanakan dan menyempurnakan amanah. Lantaran itu, saf kepimpinan BDMKIST menyusun sepuluh jari memohon keampunan daripada Allah SWT sekiranya amanah yang diberikan ini tidak mampu disempurnakan dan juga kepada seluruh ahli kariah BDMKIST dan warga KIST, jika ada kecacatan dan tempangnya tanzim kita sepanjang kami mengemudi bahtera badan ini. Kelemahan yang lepas dijadikan pengajaran untuk kita meneruskan agenda gerak kerja Islam pada masa akan datang. Buat pembaca Lisanul Hakim, ana dan seluruh saf kepimpinan badan ini memohon maaf andainya terdapat kelemahan dan tulisan yang menyinggung hati anda sekalian sepanjang penerbitannya. Semoga setiap edisi yang telah dan akan diterbitkan dapat dijadikan panduan yang berguna dan ilmu yang bermanfaat untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian.
Kepada saf kepimpinan yang baru, teruskanlah perjuangan. Perbaikilah kelemahan-kelemahan sebelum ini dan semoga amanah yang diwariskan kepada antum semua dapat disempurnakan dengan baik. Intiplah hikmah dan sabar dalam setiap apa jua yang berlaku, semoga menjadi pengajaran dan pengalaman hidup untuk menjadi lebih matang. Jalankan tanggungjawab sebaik mungkin kerana setiap amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita akan disoal di akhirat nanti.
Tidak lupa juga kepada pensyarah jawatankuasa induk yang telah membimbing kami untuk mengemudi badan ini. Perhargaan khas kepada Tuan Presiden KIST, Encik Muhamad Zamly Bin Abdullah merangkap sebagai penaung BDMKIST kerana telah menyokong segala aktiviti yang dijalankan. Kepada Ust. Soleh Ibrahim, Ust. Mursyidi, Ust. Atlizan, Ust. Azib, Ustz. Siti Nur Syila dan kepada semua pensyarah (tidak dapat disebutkan semua), terima kasih yang tidak terhingga. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas segala budi yang ditaburkan kepada kami. Segala ilmu dan tunjuk ajar akan kami semat buat panduan.
          Akhirul kalam, semoga selama hampir setahun lebih pengembaraan kita menerajui saf kepimpinan ini menjadikan diri kita benar-benar matang dan tahu menilai kelemahan diri sendiri. Kepada sahabat-sahabat seperjuangan semua, semoga mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan akhir semester 4 ini. InsyaAllah, amin. Selamat menduduki peperiksaan dan salam imtihan buat semua. Semoga berjaya di dunia dan akhirat. Dunia di tangan, akhirat di hati. Wassalam…

“ Buatlah yang terbaik untuk Tuhanmu, buktikanlah kemurnian cintamu padaNya, serlahkan kesungguhan ubudiyyahmu…InsyaAllah rahmatNya pasti bersamamu..”


Timbalan Pengerusi BDMKIST sesi April 2009/Oktober 2010

http://qurratulqalbi.blogspot.com/2010/11/tinta-terakhir.html

Monday, November 1, 2010

Menjadi yang Mencintai

artikel dari langitilahi.com


Kita lebih suka dicintai. Kita lebih suka disayangi. Kita lebih suka dikasihi.
Kerana kita akan menjadi seperti raja. Dicurahkan segala-gala daripada manusia yang menicntai, menyayangi dan mengasihi kita.
Namun tak ramai antara kita yang suka menjadi yang mencintai.
Mengapa?
Kerana di situ ada satu perkara yang besar perlu kita lakukan.
Ia bernama Pengorbanan.
Jika benar cinta, maka pengorbanan perlu ada.
Bukanlah pengorbanan di sini semata-mata bermaksud: “Sanggupku redah gunung everest, merentas lautan api, mencari permata berkati-kati”.
Pengorbanan masa dan waktu, pengorbanan rasa dan kehendak, pengorbanan harta dan benda. Mungkin enam perkara daripada tiga jenis kumpulan ini adalah yang paling akan perlu dikorbankan apabila menjadi seorang pencinta.
Jika benar cinta, maka anda akan perlu mengorbankan enam perkara dari tiga kumpulan ini.
Jika tidak, saya cakap satu perkara kepada kita semua.
Kita adalah pembohong dalam cinta kita.
Pengorbanan-pengorbanan bukan semudah tulisan dan bicara
Cakap semua orang boleh. Tulis memang senang. Tetapi melakukannya adalah satu perkara yang berada di dimensi lain.
Jika anda benar cintakan seseorang manusia. Contohnya, pasangan anda. Maka pastinya anda perlu mengorbankan masa-masa dalam hidup anda untuk memberikan perhatian yang lebih kepadanya, berfikir akan kebaikan yang perlu anda lakukan kepadanya. Saat-saat dia memerlukan anda, memerlukan bantuan dan tangan, anda kena korbankan masa dan waktu anda. Waktu-waktu anda akan ‘dimakan’ apabila wujudnya seseorang yang perlu anda perhatikan dan fikirkan. Anda bohong dengan cinta anda, sekiranya anda bukan yang berkorban dengan masa dan waktu anda.
Kalau benar cinta, kita akan korbankan kehendak dan rasa kita. Mungkin kita hendakkan sesuatu itu, tetapi kita kena korbankan kerana orang yang kita cintai membencinya. Mungkin kita rasa bengang dan marah akan sesuatu, tetapi kita kena korbankan kemarahan kita agar tidak menyakiti orang yang kita cintai. Tidak begitu?
Kalau benar cinta, kita akan sanggup berhabis harta dan benda yang kita ada untuk orang yang kita cintai. Hal ini kerana, kita mahu orang yang kita cintai itu berada dalam kondisi yang paling bahagia sekali. Maka kita akan belikan dia hadiah, hadiahkan dia sesuatu yang istimewa. Dan apabila dia memerlukan bantuan, kita sanggup korbankan apa sahaja yang ada dalam tangan kita untuk membantunya. Tidakkah begitu?
Dan inilah dia mahar cinta. Tidak kiralah dengan pasangan, dengan rakan-rakan, dengan ibu bapa, adik beradik, atau dengan sesiapa sahaja sekalipun. Selagi dia manusia, kita tetap perlu mengorbankan perkara yang sama, jika kita benar dengan cinta kita.
Apa yang menakutkan adalah, belum tentu cinta ini berbalas.
Namun, ketakutan itu akan terpadam apabila kita membina cinta kita atas dasar yang benar.
Acuan Allah, siapakah yang acuannya lebih baik dari acuan Allah?
Sekiranya, perjalanan kita menjadi pencinta, kita mulakan dengan menjadi pencinta kepada Allah SWT, maka kita akan merasakan semua cinta-cinta kita kepada manusia lain tadi terbalas. Walaupun manusia-manusia itu tidak membalasnya.
Kita perlu yakin, Allah membalas cinta-cinta kita tadi.
Maka, pertamanya, perlulah cinta kepada Allah itu kita bina. Sekarang, kita balik kepada formula asal kita tadi. Kalau cinta, pastinya ada pengorbanan. Bagaimanakah kita dengan Allah SWT?
Apakah pengorbanan kita kepadaNya?
Ahah!
Kita suka Allah sayang kita, tetapi kita….?
Kita suka Allah bagi rahmat. Kita suka Allah bagi keberkatan. Kita suka Allah bagi kita banyak nikmat. Walaupun mungkin kita tak boleh kata “Allah dah banyak berkorban untuk kita” sebab Allah itu tak akan ada kekurangan dan kepayahan untukNya(menyebabkan perkataan ‘korban’ adalah sesuatu yang tidak layak untuk Allah), tetapi yang nyata, Allah telah memberikan kita pelbagai perkara, dan tidak cukup dengan itu, menjanjikan kita baaaanyak perkara.
Maka kita?
Jika benar cintakan Allah.
Maka hendak menjadi pencinta kepada Allah juga perlukan pengorbanan. Dan kita perlu korbankan perkara yang sama juga. Enam perkara dari tiga kumpulan tadi.
Kalau benar kita cintakan Allah SWT, maka kita akan korbankan masa kosong dan masa bermain-main kita untuk kita isi dengan mencari keredhaanNya, untuk kita isi dengan ibadah kepadaNya, untuk kita isi dengan melakukan kerja-kerja yang membawa kepadaNya. Kalau benar kita cintakan Allah SWT, kita tidak akan kisah waktu-waktu yang berlalu dalam mengejarNya, melakukan perintahNya, melaksanakan arahanNya. Kalau benar kita cinta kepada Allah. Namun berapa banyak masa dan waktu kita telah kita korbankan untukNya?
Kalau benar kita cintakan Allah SWT, maka kita akan berusaha untuk korbanakn rasa dan kehendak kita. Kita akan korbankan rasa hendak berbuat dosa, rasa nak ikut hawa nafsu, rasa seronok dengan maksiat dan kemungkaran. Kalau benar kita cintakan Allah SWT, maka kita akan berusaha untuk supress kehendak kita kepada perkara yang dilarang olehNya, kehendak kita hendak mengikuti musuh-musuhNya, kehendak kita untuk sekadar berseronok semata-mata di atas dunia. Namun, berapa banyak rasa dan kehendak kita telah kita korbankan untukNya?
Kalau benar kita cintakan Allah SWT, maka kita akan mengorbankan harta kita di atas jalanNya. Kita akan sanggup berusaha membantu agamaNya dengan harta kita. Kita akan planning harta kita biar ada sebahagian peratus yang tumpah ke jalanNya secara khusus, selain turut tumpah ke jalanNya secara umum dalam membentuk keluarga dan mengisi perut kita.
Persoalannya, apakah kita sudah berkorban?
Kita takut, sebab kita tak ada Dia.
Hubungan yang rapuh dengan Allah SWT adalah punca kita mengalami ketakutan untuk menjadi pencinta kepada manusia. Ketakutan ini yang menimbulkan kerisauan dan kegelisahan di dalam diri kita. Menjadikan kita seorang yang prejudis dan kering. Kita tidak berani mencinta. Sedang cinta adalah satu-satunya air yang wujud untuk membasahi hati kita.
Orang yang cintakan Allah, dia akan mencintai manusia lain.
Contoh terbaik saya adalah Rasulullah SAW. Siapakah yang lebih mencintai Allah berbanding baginda? Dan lihatlah bagaimana baginda mencintai manusia.
:-)
Penutup: Jadilah pencinta, hati kamu akan bahagia.
Maka jadilah pencinta. Belajar berkorban.
Kita mungkin takkan dapat balasan yang setimpal dari manusia. Di dunia pun, mungkin kita akan sukar ‘nampak’ balasan untuk kita daripada Allah SWT. Tetapi percayalah dengan yakin, Allah membalas cinta-cinta kita kepada manusia juga, selain membalas cinta kita kepadaNya.
Memang sukar hendak berkorban kepada ‘yang kita tidak nampak’.
Memang sukar hendak berkorban kepada manusia yang mungkin tidak membalas.
Tetapi kebahagiaan-kebahagiaan dalam menjadi pencinta itu, melebihi segala-gala. Ia melembutkan hati, mendamaikan jiwa, membentuk peribadi, dan meluaskan pemikiran akal. Semua itu melebihi kesakitan dan penderitaan di atasnya.
Cinta kepada manusia, yang dibina di atas cinta kepada Allah, ia akan memberikan kekuatan berkali ganda kepada kita.
Segala senyuman akan kita hargai, segala kebaikan akan membuatkan jiwa kita lapang, segala ketenangan membuatkan hati kita tenang. Oh, bahagianya.
Tidakkah tidak mendapat semua itu, membuatkan hati kita sunyi?
Jadilah pencinta. Belajarlah berkorban. Kamu akan memahami.