Facebook

Saturday, July 31, 2010

Siapa Aku di Hadapan Tuhanku


SUBUH NYA...
Dimana ku berada,
Masih enak di dalam kelambu rindu,
Sambil berfoya-foya dgn waktu,
Masa bagaikan menderu,
Langkah tiada arah tuju,
Fikiran terus bercelaru,
Terlupa ku semakin dihujung waktu,
Siapa aku didepan TUHANKU?


ZUHUR NYA...
Aku lebih memikirkan kelaparan, kehausan dan rehatku,
Aku lebih mementingkan tuntutan jawatanku,
Aku bertolak ansur dengan waktu,
Aku terlupa betapa besar kerugian,
Jika kumenggadaikan sebuah ketaatan,
Siapa aku didepan TUHANKU?


ASAR NYA...
Aku lupa warna masa,
Cepat berubah bagaikan ditolak-tolak,
Aku masih dengan secawan kopi,
Terlalu panas tak dihujung kepala,
Aku masih bercerita,
Tentang si Tuah yang setia dan si Jebat yang derhaka,
Siapa aku di depan TUHANKU?


MAGHRIB NYA...
Aku melihat warna malam,
Tapi aku masih berlegar disebalik tabirnya,
Mencari sisa-sisa keseronokan,
Tidak terasa ruang masa yang singkat,
Jalan yang bertingkat-tingkat,
Siapa aku di depan TUHANKU?


ISYA' NYA...
Kerana masanya yang panjang,
Aku membiarkan penat menghimpit dadaku,
Aku membiarkan kelesuan mengganguku,
Aku rela terlena sambil menarik selimut biru,
Bercumbu-cumbu dengan waktuku,
Siapa aku di depan TUHANKU?



Kini aku menjadi tertanya-tanya,
Sampai bila ku melambatkan sujudku,
Apabila azan berkumandang lagi,
Aku tidak akan membiarkan Masjid sepi,
Kerana dihujung hidup ada mati,
Bagaimana jenazah dibawa solat disini,
Jika ruangku dibiar kosong,
Jika wajahku menjadi asing,
Pada mentari dan bintang-bintang...

Thursday, July 29, 2010

Allah Pasti Memberikan Yang Terbaik

Dengan Nama Allah
yang Maha Pengasih
lagi Maha Penyayang

Setiap manusia pastinya selalu menginginkan yang terbaik. Mendapat segala yang terbaik dan mengusahakan sesuatu yang terbaik, baik untuk dirinya mahupun untuk orang-orang yang tersayang…

Salah satu sifat seorang Muslim ialah selalu memohon dan meminta pada Allah, Zat yang Maha Kuasa. Satu persepsi dan pegangan bagi seseorang yang bepegang teguh bahawa jika mahukan sesuatu, mintalah pada Allah kerana Dia pasti tidak pernah menghampakan.

Meminta pada manusia, sekali dua kali, mungkin diberinya, tapi mungkin tidak pada permintaan yang berikutnya....tetapi jika berkehendakkan sesuatu, mintalah pada Allah, kerana Dia pasti tidak jemu dan bosan untuk menunaikannya, terkadang juga tidak diminta, diberi-Nya pula.

Mungkin terselit ungkapan tulus dalam bait-bait kata dalam banyak-banyak doa yang dipohonkan kepada Ilahi ... “ Ya Allah, berikanlah yang
terbaik untukku....”. Tetapi terkadang manusia lupa, terkadang yang dirasakan terbaik untuk diri kita menurut kacamata kita adalah yang terburuk untuk kita menurut pandangan Allah.

“.............Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui...” (QS: 216)

Sebaliknya, berkatalah...”Ya Allah, berikanlah yang terbaik untukku, yang Engkau rasakan terbaik untukku...”.




Terkadang juga manusia itu lupa, bahawa yang dilaluinya dan diterimanya itulah yang diminta daripada Allah. Kita terkadang sering lupa, yang datang itulah yang terbaik untuk kita. Tanpa kita pinta, sesuatu ujian yang amat berat datang menjengah untuk mewarnai kehidupan dan menguji kesabaran kita.

Suatu ujian yang dirasakan berat untuk dipikul dan terasa hilang kesabaran menghadapinya. Ujian yang kita tidak minta tetapi ia datang. Sedangkan kita lupa, bahawa ujian itulah yang kita minta daripada Allah, sesuatu yang ‘terbaik’ untuk kita. Ibrah yang ‘terbaik’ untuk kita...untuk menjadikan kita yang ‘terbaik’ di pandangan Allah.

Begitulah, setiap sesuatu yang ‘terbaik’ itu, amat tinggi nilainya di mata Allah, tiap sesuatu yang ‘terbaik’ itu juga amat tinggi pengorbanannya pada Allah, tinggal pada diri kita, adakah kita sanggup untuk menghadapinya untuk mendapatkan yang terbaik itu serta sentiasa berbaik sangka kepada Allah atau sebaliknya......

Janganlah kita menjadi hamba yang kufur akan nikmat-Nya, hanya kerana belum diberi apa yang diinginkan. Yakinlah, Allah Maha Tahu apa yang terbaik bagi hamba-Nya. Lihatlah sisi positifnya dari setiap keadaan kita.

Yang manapun kita, bersabarlah...........

Tuesday, July 20, 2010

LAPORAN PROGRAM ‘UNTUKMU PALESTIN’


LAPORAN PROGRAM ‘UNTUKMU PALESTIN’
Pada tanggal 17 dan 18 Julai 2010, Kolej Islam Sains dan Teknologi telah mengadakan sebuah program besar iaitu program ‘Untukmu Palestin’. Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Badan Dakwah dan Masjid (BDMKIST), dan Kelab Al-Abrar telah bergabung untuk menjayakan program ini.

Majlis ini dianjurkan untuk mengingati mangsa-mangsa keganasan Israel di Palestin iaitu satu tempat yang telah menjadi tumpuan dunia belakangan ini. Isu Palestin yang menjadi isu internasional telah dikentengahkan dengan jemputan daripada salah seorang mujahid yang telah berada di atas kapal Mavi Marmara ketika serangan Zionis Israel ke atas kapal tersebut pada 31 Jun lalu, iaitu Yang Berbahagia Ustaz Hasanudin B Mohd Yunos; Pengerusi Aqso Sharif. Yang berbahagia ustaz telah menyampaikan ceramah dan menceritakan pengalaman beliau kepada warga kolej yang terdiri daripada pelajar dan staf seterusnya memberi impak kesedaran yang besar mengenai isu Palestin ini.
Sepanjang tempoh dua hari tersebut, Badan Dakwah dan Masjid (BDMKIST) telah terlibat secara langsung dalam pameran dan jualan. Pihak badan telah mengadakan pameran mengenai Palestin dan antara lain juga mempamerkan gambar-gambar program yang telah diadakan untuk tatapan pengunjung. Pameran yang berlangsung juga telah dimeriahkan dengan pameran-pameran daripada agensi Aman Palestin dan Aqsa Sharif Negeri Kelantan yang telah mempamerkan gambar-gambar kekejaman Israel di palestin dan juga sedikit sebanyak sejarah mengenai Palestin.
Selain itu, BDMKIST telah berjaya membuka gerai jualan untuk siswa-siswi kolej. Antara barang yang telah dijual ialah Air Radix Berkarbonat, buah tembikai ‘Jihad’, ‘Kerepek Palestin’, badge Islamik, baju Muslimah dan banyak lagi. Jualan telah berlangsung dengan meriah sekali sepanjang program.
Urusetia program bersama VIP (wakil Aqsa Syarif dan Aman Palestin)

Wednesday, July 14, 2010

PROGRAM UNTUKMU PALESTIN


Sebuah program anjuran Kolej Islam Sains dan Teknologi untuk mengingati saudara2 seISLAM yang berada di Palestin...
-PAMERAN BDMKIST-
-JUALAN BDMKIST-
-PAMERAN AMAN PALESTIN-
-PAMERAN AQSO SHARIFF-
-PERTANDINGAN PUISI PALESTIN-
dan bermacam2 lagi...

Semua dijemput hadir...