Facebook

Monday, May 23, 2011

LAPORAN FESTIVAL MAULIDUR RASUL S.A.W 1432H

Pada 20 hingga 22 Februari 2011, bersamaan dengan 17 hingga 19 Rabiul Awal 1432H, sebuah program telah diadakan buat julung-julung kalinya bertempat di Kolej Islam Sains & Teknologi, Kampus Utama Ibnu Sina, Bachok, Kelantan. Program tersebut diberi nama Festival Maulidur Rasul S.A.W 1432H. Program tersebut dianjurkan oleh Badan Dakwah Dan Masjid KIST (BDMKIST) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar KIST (MPPKIST) dan Badan Siswazah KIST (BSK) dan telah dijayakan sepenuhnya oleh para siswa dan siswi  itu sendiri dengan tema “Kami Mencintaimu Ya Rasulullah”. Diantara objektif program ini diadakan ialah:

·         Mengimbas semula sejarah dan peristiwa sebelum, semasa dan selepas kelahiran Nabi Muhammad S.A.W.
·         Menerapkan ruh Al-Quran dan Sunnah Nabi di dalam jiwa setiap Mahasiswa/i.
·         Melahirkan golongan Mahasiswa/I yang dapat mencontohi perjuangan dan semangat Baginda dalam membela agama Islam.






Program telah berlangsung selama 3 hari dengan bentuk pengisian bersifat Islamik seperti:

Hari Pertama :
  •       Pertandingan Deklamasi Sajak dan Syarahan
  •       Pertandingan Nasyid
  •      Pertandingan Ratu Muslimah ( Khusus untuk para siswi di tempat yang tertutup)
Hari Kedua :

·         Ceramah sempena Maulidur Rasul 1432H
-          Disampaikan oleh yang berbahagia Ustaz Mohamad Dailami, tenaga pengajar di Sekolah Pondok Moden Kandis, Bachok.

Hari Ketiga :
  •      Perarakan Maulidur Rasul 1432H
-          Melibatkan semua staf-staf KIST dan siswa/I terpilih dari setiap kos.
-          Diiringi dengan selawat dan sepanduk maulud nabi serta paluan kompang.
  •    Pameran Badan Siswazah KIST
-          Menampilkan badan-badan dan persatuan yang terdapat di KIST.

Program ini telah disempurnakan dan dirasmikan oleh En. Muhamad Haris Bin Hussain, Ketua Eksekutif KIST Bachok dalam Majlis Perasmian Penutup Festival Maulidur Rasul 1432H dengan diiringi gimik perasmian pukulan gong sebanyak 3 kali oleh beliau sendiri dan paluan kompang oleh siswa KIST. Pada majlis tersebut juga menampilkan persembahan johan daripada setiap peserta pertandingan dan penyampaian hadiah kepada para pemenang. Selesai majlis, para VIP dijemput untuk melawat gerai-gerai jualan dan pameran yang dikendalikan oleh para siswa/I sendiri.  Gerai-gerai jualan tersebut termasuklah gerai jualan dan makanan, gerai jualan buku-buku agama dan jualan Aqsa Sharif. Majlis bermula pada pukul 10 pagi dan dijangka selesai pada pukul 1 petang.





Segala pengorbanan masa, kewangan dan penat lelah para siswa/I dalam menjayakan program maulud nabi ini hanya Allah S.W.T yang mampu membalasnya. Program sebegini juga secara tidak langsung telah menzahirkan kecintaan kepada Junjungan Besar Nabi S.A.W, iaitu betapa siswa/I bertungkus-lumus dalam memberi kesedaran kepada masyarakat kolej  bahawasanya Rasulullah adalah sebaik-baik contoh teladan dan sebagai rahmat untuk sekalian alam, meskipun para siswa/I diuji oleh Allah dengan pelbagai rintangan dan dugaan sepanjang pelaksanaan program tersebut.  Semoga program ini dapat diteruskan lagi oleh barisan kepimpinan Badan Dakwah Dan Masjid KIST (BDMKIST) yang akan datang dalam memartabatkan Islam di Kolej Islam Sains Dan Teknologi, Insyaallah….


ORGANISASI PELAKSANA PROGRAM

Penaung              : Yang Berusaha Encik Muhammad Zamly bin Abdullah
Penasihat 1         : Ustaz Abd. Azib bin Hussain
Penasihat 2         : Ustazah Siti Nor Shila binti Mohd Nasir

Pengarah              : Ahmad Arshad B. Arham
Timb. Pengarah   : Ahmad Ibrahim B. Abd. Halim
Setiausaha           : Rabiah Adawiyah Bt. Ismail@Ahmad
Bendahari            : Nur Syassira Bt. Jamal

Biro Pengisian Program
Exco                       : Ahmad Rahimi B. Abd. Rashid
Timb Exco              : Norimah Bt. Razali

Biro Ekonomi Dan Kebajikan
Exco                       : Mohd. Azrin B. Abdullah
Timb Exco              : Zuraidah Bt. Zainudin

Biro Perhubungan dan Publisiti
Exco                       : Zul Helmi B. Zahari
Timb Exco              : Zuria Murniati Bt. Zubairi

Biro Teknikal dan Siaraya
Exco                       : Abdul Aziz Al-Hadi B. Othman
Timb Exco              : Azhiim Muzhawwahir Bt. Ibrahim

Biro Protokol Program
Exco                       : Nurul Faiezah Bt. Noor Zaki
Timb Exco              : Sharul Miun B. Shawal

Biro Makanan dan Jamuan
Exco                       : Abdul Ghafur B. Mohd. Lajah
Timb Exco              : Muhammad Hafizul Haris B. Ramly



AJK pelaksana program bersama penasihat program



Antara gambar sepanjang program:





























Thursday, May 19, 2011

MENGGILAP KEMBALI PERMATA YANG PUDAR

“Hari ini adalah hari kemenangan kepada kami, umat Nabi Muhammad S.A.W. kamu sudah menjadi hina dengan kekalahan ini. Sesungguhnya apabila datangnya yang hak, lenyaplah yang batil. Apabila datang kebenaran, lenyaplah kemungkaran. Apabila datang keadilan, lenyaplah kezaliman. Sesungguhnya kami datang kepada kamu membawa yang hak. Kami datang membawa cahaya kebenaran dan kami menegakkan keadilan. Percayalah tiada siapa yang dianiaya pada hari yang mulia ini.
-Sultan Muhammad Al-Fateh
Selasa, 29 Mei 1453
Pada tanggal ini, ISTANBUL yang dahulu dikenali sebagai Kota Konstantinople yang dikuasai kerajaan Rom Berjaya ditakluki oleh Tentera Islam Turki di bawah pemerintahan Sultan Muhammad Al-Fateh di zaman kerajaan Uthmaniah. Setelah 53 hari tentera Islam mengepung dan bertarung nyawa dengan tentera Rom akhirnya mendapat kemenangan yang besar daripadaAllah Yang Esa. Laungan takbir ALLAHU AKBAR bergema di Masjid Aya Sophia yang dahulunya merupakan Gereja terbesar Aya Sophia milik kerajaan Rom.
Usaha penakhlukan kerajaan Islam terhadap Kota Konstantinople semenjak zaman pemerintahan Para Sahabat dan Tabiin membuahkan hasil dan kemenangan yang nyata terhadap Umat Islam. Khalifah Harun Ar-Rasyid, sultan Sulaiman Abdul Malik, Muawiyah, Saidina Ali, Sultan Beyazid, dan Sultan Murad, kesemua pemimpin dan khalifah ini, tidak Berjaya menakhluk Kota Konstantinople yang menjadi kebanggaan penganut agama kristian Orthodox itu. Dengan izin ALLAH, Kota Konstantinople Berjaya dibuka sebagai Negara Islam oleh Pemimpin yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik.
“sesungguhnya Konstantinople akan jatuh ke tangan seorang ketua yang baik, tentera yang baik dan Rakyat yang baik.”
-Nabi Muhammad S.A.W
Selepas lebih 800 tahun Hadith ini diucapkan oleh Rasulullah S.A.W terbukti kebenarannya dengan kemenangan tentera islam menawan konstantinople. Sejarah membuktikan, kekuatan ImanKunci segala kejayaanKekuatan iman membuahkan keberanian, keikhlasan, istiqamah ketaqwaan dan kekuatan semangat yang tinggi dalam menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Sirah juga menerangkan keikhlasan dalam perjuangan, keyakinan yang teguh kepada ALLAH, KETEGASAN MENURUTI Jalan SUNNAH membuahkan kejayaan yang besar terhadap umat Islam seluruhnya.
PEMIMPIN YANG BAIK


Sultan Muhammad Al-Fateh adalah lelaki biasa, dan juga berjalan dan hidup sama seperti manusia biasa, apa yang membezakannya adalah ketaqwaan dan kepercayaannya yang tinggi terhadap kekuasaan dan ketentuan ALLAH. Beliau adalah insan yang terpilih dalam tugas membebaskan kota konstantinople daripada kezaliman kerajaan Rom. Pada usianya 19 tahun, beliau sudah menaiki takhta tampuk pemerintahan kerajaan Uthmaniah yang didalamnya sebanyak 40 buah Negara yang bernaung dibawah pemerintahan kerajaan Uthmaniah. Ketika usianya mencecah 21 tahun, beliau telah Berjaya menakluki Kota Konstantinopel yang menjadi kebanggaan seluruh penganut agama Kristian dan seluruh kerajaan Eropah.
“… kalaulah dunia ini adalah sebuah Negara, maka konstantinople inilah yang paling layak menjadi ibu negaranya.”
-Napoleon Bonapart
Apakah rahsia kejayaan seorang muslim yang bernama Muhammad Al-Fateh? Bagaimanakah seorang yang masih boleh digelar remaja mampu menakhluk kota konstantinople yang sudah beratus-ratus tahun dipertahankan oleh kerajaan Rom. Tentulah Kekuatan Iman yang menjadi jawapannya.
TENTERA YANG BAIK
Pelbagai usaha dilakukan oleh tentera Islam dalam peristiwa penaklukan Kota konstantinople. Gema Takbir berkumandang di selang-selikan dengan bedilan meriam ciptaan Urban, seorang lelaki yang berbangsa yunani yang telah memeluk islam. Laungan takbir serentak yang telah menggerunkan setiap hati Paderi-Paderi Kristian dan Pengikutnya, suara-suara zikir yang bergema tidak henti-henti di setiap perkemahan tentera islam sepanjang malam, siangnya dihiasi dengan ibadah puasa walaupun dalam keadaan bertungkus lumus mempersiapkan diri untuk berperang. Semua usaha ini adalah buah-buah hasil dari kekuatan iman yang teguh dalam setiap hati dan jiwa tentera Islam pada masa itu.
Setelah berhari-hari pasukan tentera laut Islam yang berusaha menembusi Tanduk Emas; pangkalan masuk ke konstantinople yang telah dikawal rapi dengan Rantai Besi yang besarnya 3kali rantai besi besar biasa menemui Ilham dan petunjuk dari ALLAH melalui Sultan Muhammad Al-Fateh melalui mimpinya. ALLAH memberi petunjuk supaya melakukan perbuatan yang belum pernah terjadi dalam sejarah dunia pada ketika itu. Petunjuk yang membawa kepada kemenangan yang nyata.
“Tidaklah kami pernah melihat ataupun mendengar hal-hal yang ajaib seperti ini. Muhammad Al-Fateh sudah menukar darat  menjadi lautan, melayarkan kapalnya di puncak gunung dan bukannya di ombak lautan. Sesungguhnya Muhammad Al-Fateh dalam usahanya ini telah mengatasi Alexander The Great!”
-Ahli Sejarah Byzantine
Sebelum menjelang malam, keseluruhan tentera Islam bermunajat dan beribadah memohon pertolongan daripada ALLAH. Dan ketika usai sembahyang isyak, sebanyak 70 Buah kapal perangpelabuhan Tanduk Emas yang merupakan pintu masuk ke Kota Konstantinople. Pertolongan ALLAH hadir pada waktu malam ketika mereka berusaha memindahkan kapal-kapal perang ke Tanduk Emas. Ribut kencang hadir meluncurkan kapal-kapal perang tentera islam di atas daratan Semenanjung Fera. Menjelang pagi kesemua 70 kapal perang telah Berjaya dipindahkan ke Tanduk Emas. Bukan satu tetapi 70 kapal perang! 
Dari penguasaan tentera Islam di Pelabuhan Tanduk Emas bermulalah Penaklukan keseluruhan Kota Konstantinople pada pagi selasa itu. Maharaja Konstantine telah mati akibat bertarung dengan Sultan Muhammad Al-Fateh diikuti Panglima Perang Rom; Ardogan juga mati di tangan Sultan Muhammad Al-Fateh. Kematian seorang demi seorang maharaja dan juga panglima perang tentera Rom telah melemahkan semangat Tentera Rom keseluruhannya dan telah menyebabkan mereka menyerah kalah kepada tentera Islam.
ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR!
Setelah kemenangan yang besar itu di rai dengan Tahmid dan Takbir, Tentera Islam dan Sultan Muhammad Al-Fateh masuk kedalam kota Konstantinople dan bersujud syukur diatas kemenangan dan pertolongan yang dikurniakan ALLAH. Ternyata, jika berharap pada KEKUASAAN ALLAH kita tidak akan Hampa, tidak akan sesekali Hampa.
RAKYAT YANG BAIK
Persiapan penakhlukan konstantinople bukan sekadar persiapan ketenteraan sahaja. Sultan Muhammad Al-Fateh begitu menitikberatkan Akhlak dan perilaku rakyatnya dalam misi menyempurnakan hadith Rasulullah. Sultan Muhammad Al-Fateh pula mempunyai agenda yang tersendiri dengan keluar menyamar sebagai peminta sedekah yang bisu dan pekak untuk menyelidik keadaan rakyatnya. Ternyata, peminta sedekah yang buta dan pekak itu dimuliakan, dihormati dan diberi pertolongan. Si kaya yang tidak takbur dan sombong, dan si miskin yang tidak kedekut menyumbangkan pertolongan. Ternyata dengan izin ALLAH Sultan Muhammad Al-Fateh Berjaya mendidik Rakyatnya mengikuti sunnah Rasulullah dalam melakukan kebaikan.
Ternyata kekuatan Iman adalah Kunci segala kebaikan. Kekuatan iman yang menjadi imuniti kekebalan terhadap orang islam yang beriman. Kekuatan iman yang tidak rapuh diduga dengan harta benda, tidak lemah diuji dengan sengketa, tidak ragu pabila diberi kesusahan dan ujian.
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar.”  – al-Hujurat : 15



(Adaptasi dari pesonacintahakiki.wordpress.com)

Sunday, May 8, 2011

Selamat Menempuh Peperiksaan

Di kesempatan ini, pihak BDMKIST mengucapkan selamat menempuh minggu peperiksaan bagi siswa-siswi yang terlibat.. Antaranya pelajar ambilan Januari dan Jun...

Semoga anda terus berusaha dan tawakkal untuk mendapatkan keputusan yang diidam-idamkan...

Moga ia menjadi amal ibadat (niat ikhlas) dan diampunkan dosa-dosa ita yang lalu...

Ameeenn...

Saturday, April 16, 2011

Memperingati Nakbah Palestin 15 Mei


Apa itu Nakbah?

NAKBAH bermaksud MALAPETAKA atau BENCANA BESAR. Manakala Nakbah Palestin merujuk kepada pengisytiharan Negara Haram Israel yang telah diistiharkan secara rasminya pada 15hb Mei 1948. Peristiwa ini berlaku selepas terlaksananya pendudukan dan penjajahan haram oleh rejim Yahudi Zionis ke atas tanah dan penduduk asal Palestin secara sistematik dengan bantuan British dan PBB.

Apa kesan awal utama Nakbah ?

1. Nakbah menyebabkan hilangnya negara Palestin daripada peta dunia antarabangsa.
2. Lebih daripada 60 peratus rakyat Palestin (800 ribu orang daripada 1.4 juta) diusir ke luar negara dan 30 ribu lagi diusir ke daerah-daerah yang ditakluki mereka.
3. 478 daripada 580 perkampungan rakyat Palestin yang wujud sebelum perang 1948 telah dihancurkan yang melibatkan lebih 34 jenayah pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.

Di manakah testimoni Nakbah?

Terlalu ramai dan banyak…..

Arafat Hijazi, salah seorang saksi yang masih hidup menceritakan, “Saya melihat seorang tentera pengganas Zionis memegang saudara saya, Saliha al-Halabi yang hamil 9 bulan. Dia meletakkan senapangnya di leher Saliha lalu memuntahkan peluru sehingga Saliha terbunuh. Pengganas Zionis tersebut mengambil sebilah pisau lalu membelah perutnya sehingga terburai, kemudian mengeluarkan anak Saliha yang telah mati dengan pisau Nazinya yang mengerikan itu”.

Kem Pelarian Nahrul Barid, Lubnan 1948



Apakah realitinya setelah 63 tahun Nakbah?

1. Penjajahan dan penindasan yang berterusan sehingga mereka berjaya merampas lebih daripada 90% dari keseluruhan bumi Palestin.

2. Melakukan penangkapan dan pemenjaraan orang-orang Palestin yang tidak bersalah sehingga lebih daripada 12 ribu di kalangan mereka kini merengkok di dalam penjara Israel.

3. Sekatan ekonomi yang dirancang kemas sehingga orang-orang Palestin tersepit, menganggur dan dibelenggu kemiskinan serta kebuluran.

4. Anak-anak Palestin yang telah dinafikan hak untuk belajar sehinggakan jumlah mereka yang sempat ke pengajian menengah adalah dari peratusan yang sangat kecil.

5. Rejim Zionis tanpa malu dan segan telah membina tembok pemisah gergasi yang terpanjang di dunia yang menyekat penghidupan rakyat Palestin serta menjadikan Palestin sebagai penjara yang terbesar di dunia.

6. Seramai 6.45 juta di kalangan rakyat Palestin adalah pelarian yang hidup dengan penuh kedaifan sejak 62 tahun yang lalu. Inilah kes pelarian yang paling lama dan perit di dalam sejarah peradaban dunia.

7. Pembunuhan dan penyiksaan yang berterusan terutamanya di Gaza yang merupakan krisis kemanusiaan terhebat di abad ini.

8. Peningkatan serangan ke atas al-Quds oleh ekstremis Zionis yang mencabul kehormatan dan kesucian al-Quds serta projek pembinaan kuil Yahudi di perkarangan Al-Aqsa.



Apakah rancangan jangkamasa panjang mereka?

1. PengYahudian Baitul Maqdis dan pembinaan Kuil Yahudi ’The Solomon Temple’.
2. Pembinaan Israel Raya atau ’The Greater Israel’.
3. Menguasai dunia antarabangsa keseluruhannya.

Synagogue Yahudi yang baru dirasmikan, jaraknya 100 meter dari Qubbatus Sahra

Apakah mereka akan berjaya di dalam cita-cita ini?

Tidak

Apakah bukti-bukti kegagalan mereka ?

1. Kegagalan mereka untuk membina ’The Greater Israel’ walaupun setelah sekian lama mereka menjajah Palestin.
2. Gaza kembali ke tangan Palestin dan Golan Height pula ke tangan Syria.
3. Intifadhah menyebabkan merudumnya ekonomi Israel dan hilangnya ’rasa selamat’ di kalangan orang-orang Israel.
4. Penghijrahan lebih 700 ribu orang-orang Israel yang melarikan diri pulang ke negara-negara Barat sejak tahun 2000 lagi.
5. Generasi muda Yahudi mereka tidak berminat untuk mempertahankan agenda Zionis.
6. Gagalnya regim Zionis dengan sokongan penduduk seramai 5 juta orang dan Amerika sekutunya untuk mengalahkan Gaza yang hanya mempunyai seramai 1.5 juta penduduk.
7. Perjuangan umat Islam yang semakin kuat dan mendapat tempat di kalangan oarng-orang Palestin, bangsa Arab dan umat Islam di seantero dunia.
8. Dan tentunya disebabkan janji-janji Allah dan Rasulullah s.a.w.

Perjuangan sudah sebati dengan kehidupan rakyat Palestin.

Apakah cara terbaik untuk memenangi kembali Palestin dan al-Aqsa?

Tidak boleh tidak, kita mesti mencontohi perjuangan generasi silam seumpama mencontohi kejayaan generasi Solahuddin al-Ayyubi dengan…

1. Menjadikan matlamat perjuangan adalah untuk menegakkan kalimah Allah swt.
2. Membina generasi yang bertaqwa kepada Allah dan memelihara diri daripada maksiat.
3. Membuat persediaan perjuangan yang sempurna dan amat mengambil berat terhadap isu pembebasan Al-Aqsa
4. Menyatukan kekuatan umat di bawah sistem yang satu.
5. Menjadikan isu pembebasan Al-Quds sebagai isu Aqidah dan isu umat Islam.

Marilah kita bersama-sama merenung kembali ayat Al-Quran:

“Janganlah kamu merasa lemah dan janganlah bersedih, kerana sesungguhnya kamu adalah lebih tinggi martabat daripada mereka sekiranya kamu beriman.” (Surah Ali Imran: 139)

Semoga kita bertemu di Baitul Maqdis